Fasa satu projek pembentungan di Kota Marudu siap April tahun depan

Bung Moktar (kiri) ketika melawat tapak projek menaik taraf sistem bekalan air Kota marudu Sungai Bandau di sini pada Selasa.
--foto BERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
Bung Moktar (kiri) ketika melawat tapak projek menaik taraf sistem bekalan air Kota marudu Sungai Bandau di sini pada Selasa. --foto BERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

KOTA MARUDU - Projek Skim Pembentungan Kota Marudu Fasa 1 bernilai RM107.33 juta yang mula dilaksanakan oleh kontraktor Kimolohing Jaya Sdn Bhd pada Mei 2018 lepas dijangka siap sepenuhnya April tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, sebanyak 59.81 peratus daripada projek itu telah disiapkan dan beliau berpuas hati dengan dengan kerja-kerja kontraktor berkenaan yang melaksanakan projek melakukan kerja dengan baik, malah proses pembinaannya berjalan lancar, melebihi sasaran yang ditetapkan

"Ini perlu dicontohi oleh kontraktor lain agar rakyat tidak terbeban dengan kelewatan untuk menyiapkan projek yang telah diperoleh, selain kerajaan tidak akan menanggung kerugian akibat ada projek yang terbengkalai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan projek berkenaan di sini yang termasuk dalam jadual lawatan kerjanya ke daerah Kota Marudu dan Pitas pada Selasa.

Menurutnya, projek itu bertujuan memberi kemudahan perkhidmatan pembentungan yang lebih efisien kepada penduduk di sekitar daerah berkenaan.

"Anggaran keseluruhan rangkaian paip bagi projek ini adalah sepanjang 13 kilometer dan anggaran ‘manhole’ sebanyak 207 unit, yang mana melalui jalan-jalan utama di pekan Kota Marudu," katanya.

Mengulas mengenai lawatan kerjanya, Bung Moktar berkata, beliau terkejut apabila mendapat tahu bahawa hampir 60 kampung di kawasan Bengkoka dan Pitas belum menerima bekalan air bersih.

"Saya terkejut dengan maklumat ini dan saya terus mengarahkan pegawai daerah dan pihak berkaitan untuk membuat satu kertas kerja dan diserahkan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah kerana ia adalah di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Namun untuk penyelesaian jangka pendek, saya telah mengarahkan Jabatan Air Sabah untuk menyediakan tangki simpanan air di kawasan berkenaan secepat mungkin untuk kegunaan sementara," katanya. - Bernama