Ada luka tembusi otak Nazrin sedalam 6.8 cm

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman itu bersambung pada 30 Mac.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman itu bersambung pada 30 Mac.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbicaraan pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hassan pada Selasa diberitahu, terdapat satu luka menembusi otak mangsa sedalam 6.8 sentimeter (cm) yang boleh ditafsirkan sebagai kecederaan disebabkan penggunaan tukul ataupun set memanah.

Pakar Perunding Forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Siew Sheue Feng, 50, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini yang luka tersebut disenaraikan sebagai luka pertama dalam senarai 16 luka dan tanda yang ditemui pada tubuh badan Nazrin.

“Luka itu 5 x 4 cm pada bahagian luar dan menembus ke dalam otaknya 6.8 cm,” kata saksi pendakwaan ke-46 ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail.

Ketika pemeriksaan balas oleh Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah kemudiannya, Dr Siew berkata, menurut kepada imbasan ‘computerised tomography’ (CT), diameter luka sedalam 6.8 cm pada otak Nazrin itu ialah 0.4 cm.

“Ini (ukuran) ialah pada ketika tisu otak telah kembali normal semula selepas objek (yang menyebabkan luka 6.8 cm itu) tidak lagi berada di situ,” katanya.

Dr Siew berkata, luka seperti itu boleh ditafsirkan sama dengan luka yang disebabkan oleh penggunaan tukul atau set memanah.

“Tukul boleh menjelaskan mengenai keretakan pada tengkorak tetapi tidak menjelaskan tembusan (luka) pada otak. Ia bukan hentakan tukul disebabkan corak yang tidak konsisten,” katanya.

Dr Siew memberikan keterangan pada kes perbicaraan balu Nazrin Samirah Muzaffar, 46, dan dua remaja yang kini berusia 19 dan 16 tahun dan juga seorang wanita warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari yang kesemuanya didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara antara 11.20 malam pada 13 Jun 2018 dan 4 pagi keesokan harinya.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemeriksaan balas, Muhammad Shafee juga menunjukkan kepada saksi satu animasi bagaimana kebakaran berlaku di dalam bilik Nazrin dan mangsa mungkin panik sebelum terjatuh dan terhantuk bahagian tepi katil.

Selepas menyaksikan animasi tersebut, Dr Siew berkata, animasi itu menjelaskan mengenai sebahagian corak (luka) yang tidak dapat dijelaskan ada pada tubuh Nazrin.

Bapa Samirah seorang penganalisa politik, Dr Chandra Muzaffar dilihat berada di mahkamah untuk mengikuti perjalanan perbicaraan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman bersambung pada 30 Mac. - Bernama