X

Kindly register in order to view this article
!

SUKE: LLM adakan mesyuarat susulan arahan Menteri Kerja Raya

IR MOHD SUHAIMI
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengadakan mesyuarat bersama pihak berkaitan berhubung pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang di Kuala Lumpur berhubung insiden yang berlaku Isnin lalu.

Mesyuarat bersama pihak terlibat iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (SUKE), jurutera dan kontraktor itu susulan arahan Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Ketua Pengarah LLM, Datuk Ir Mohd Shuhaimi Hassan berkata, antara langkah yang telah diambil ialah mengarahkan pihak kontraktor memberhentikan kerja di tapak pembinaan kecuali kerja-kerja menyelamat termasuk kerja penstabilan struktur.

"Akses sementara juga perlu disediakan bagi penghuni Kondominium Puncak Banyan.

“Pengguna lebuh raya juga perlu dimaklumkan berhubung pelan akses sementara di semua medium komunikasi, selain diminta untuk memeriksa semua ‘launching gantry’ dan rasuk yang telah dilancarkan di tapak pembinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Shuhaimi berkata, bagi memberi jaminan keselamatan pengguna jalan raya dan orang awam, syarikat konsesi SUKE telah mendapat kelulusan penutupan penuh jalan sedia ada di Taman Leng Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3).

"Di Persiaran Alam Damai (Zon 1) pula, pihak SUKE perlu memastikan terdapat laluan alternatif terlebih dahulu sekiranya cadangan untuk menutup Persiaran Alam Damai ini dilaksanakan," katanya.

Menurutnya, pihak JKKP dan CIDB sedang menjalankan siasatan ke atas punca insiden dan akan mengemukakan laporan kepada pihak kerajaan.

Pembinaan projek SUKE yang bermula 29 Ogos 2016 sehingga kini telah mencapai kemajuan sebanyak 88.8 peratus dan lebuh raya sepanjang 24.4 kilometer itu dijadualkan siap pada penghujung tahun ini.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!