Jepun lestarikan inovasi klasik

A
A
A

MEREKA yang berusia 50 tahun dan ke atas, pasti masih ingat jenama klasik peralatan elektrik buatan Jepun. Dahulu, rakyat Malaysia ghairah memburu peralatan Walkman `Made in Japan’ jenama Sony. Ada pula yang tidur berteman radio transistor kecil jenama Sony.

Penulis sendiri tidak terkecuali. Kenangan membeli komputer riba buatan Jepun jenama Toshiba lewat tahun 80-an, masih dalam kenangan. Begitu juga peralatan lain seperti perakam VHS jenama JVC atau televisyen warna jenama National Quintrix yang jadi kegilaan ramai pada 1974. Jenama buatan Jepun yang lain seperti Sharp, NEC, Akai, Nikon dan Kenwood, juga pernah jadi sebahagian kehidupan rakyat Malaysia.

Ketika belajar di Jepun pada akhir tahun 80-an, penulis sering menggunakan peranti elektrik inovasi syarikat utama Jepun seperti Brother, Canon, Casio, Citizen, Fujifilm, Fujitsu, Hitachi, Kenwood, Konica Minolta, Kyocera; Mitsubishi Electric, Nintendo, Olympus, Panasonic; Ricoh, Seiko, TDK dan Yamaha.

Justeru, apabila Jawatankuasa Penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 (TOGOC) mengumum akan menghadiahkan medal berbentuk peralatan peranti dan kelengkapan elektik klasik buatan Jepun kepada semua pemenang Sukan Olimpik 2020, penulis mengagumi sikap masyarakat Negara Matahari Terbit dalam melestarikan keagungan inovasi buatan mereka.

Khabarnya, semua medal Sukan Olimpik 2020 akan dibuat daripada bahan terbuang atau koleksi klasik telefon bimbit pintar, kamera digital, pelbagai permainan dan laptop. Dalam kenyataan dikeluarkan minggu lalunya, TOGOC menegaskan semua bahan terbabit akan diperoleh sebelum 31 Mac tahun ini.

Tidak sampai 50 tahun lalu, kita sama sekali tidak pernah mengenali telefon bimbit jenama Samsung, atau Oppo buatan China. Di dapur kita juga tiada kelengkapan elektrik jenama Haier buah tangan Tembok Besar China atau penapis air Coway mahupun Chuckoo.

Kembali ke alam realiti di tanah air kita, penulis cuba mencari nama-nama besar buatan Malaysia. Bolehkah kita berbangga dengan inovasi peralatan elektrik jenama Khind, Joven, Everbright, Acson, Koolman, Aviate, Fujiaire, Pensonic atau Beebest? Rasanya masih ramai meragui kualiti produk keluaran tempatan meski dijual dengan harga lebih murah.

Penulis juga masih ingat majlis pelancaran MEC dan MEC City pada 17 Mac 1997 di Gambang, Kuantan, Pahang. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed menegaskan Malaysian Electric Corporation Bhd (MEC) melambangkan tahap kemajuan pengusaha Malaysia dalam bidang pembuatan elektrik dan peralatan elektrik.

Artikel Berkaitan:

Dr Mahathir menegaskan selama ini peralatan elektrik banyak yang diimport meskipun Malaysia memiliki jenama buatan sendiri dipasang penduduk negara ini. Penulis juga masih ingat Perdana Menteri menegur sikap rakyat Malaysia yang tidak sanggup menerima barangan elektrik atau elektronik buatan tempatan kononnya atas alasan kurang bermutu.

Jelas sekali pendirian TOGOC membuktikan kepada dunia bahawa jenama Jepun akan terus dilestarikan sebagai lambang kejayaan mereka. Jepun juga telah menunjukkan kepada dunia bahawa sikap memaksimumkan penggunaan hasil pembangunan teknologi klasik, sekali gus mengurangkan pembaziran. Sikap menghargai hasil karya kejuruteraan elektronik seumpama ini, mesti dipuji.

ALLAH sebenarnya telah mengingatkan pentingnya ilmu untuk menjadikan sesuatu kaum itu kuat dan berjaya menerusi Surah Al-Baqarah [2:247], bermaksud:

“Bahawasanya ALLAH telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya ALLAH telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), ALLAH jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan ALLAH Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.

Seterusnya ALLAH memberi peringatan tentang ilmu dalam Surah al-Baqarah [2:269] yang bermaksud: “ALLAH memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya".

ALLAH juga telah memberi kiasan dalam Surah An-Nisaa [4:32] yang bermaksud: “Dan janganlah kamu terlalu mengharapkan (ingin mendapat) limpah kurnia yang ALLAH telah berikan kepada sebahagian dari kamu (untuk menjadikan mereka) melebihi sebahagian yang lain (tentang harta benda, ilmu pengetahuan atau pangkat kebesaran). (Kerana telah tetap) orang-orang lelaki ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian dari apa yang mereka usahakan; (maka berusahalah kamu) dan pohonkanlah kepada ALLAH akan limpah kurnianya. Sesungguhnya ALLAH sentiasa mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.

Daripada Surah An-Nisaa tersebut, ALLAH jelas telah mencabar manusia agar menggunakan akal dan fikiran untuk mencapai kejayaan. Dalam hal ini, sikap syarikat elektronik dan peralatan elektrik Jepun yang sentiasa melakukan inovasi untuk menambahbaikkan produk mereka, mesti ditiru. Mereka tidak cepat berpuas hati dengan kejayaan yang ada. Sebaliknya ilmu terus digali dan dicari demi menghasilkan mahakarya demi mahakarya.

Penulis juga mahukan jurutera khususnya mekanikal dan elektrikal di negara ini agar menghasilkan lebih produk tempatan yang berkualiti bagi menandingi keluaran daripada negara luar seperti Jepun dan Korea Selatan.

Penulis sendiri ingin mengambil kesempatan daripada sikap rakyat dan syarikat Jepun. Tahun ini, penulis bercadang untuk menghasilkan rekaan dan inovasi berkualiti bagi membuktikan orang Malaysia sebenarnya sama hebat, sama kuat.

*Penulis Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor (Unisel)