Rujuk laman web MKN untuk ketahui SOP terkini

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai untuk merujuk laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19 yang terkini mengenai penganjuran majlis sosial atau program seperti ceramah, kursus dan lain-lain yang diadakan dalam tempoh pandemik ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ini susulan pelaksanaan SOP bagi penganjuran sebarang program adalah berbeza mengikut status kawalan pergerakan yang dilaksanakan di setiap negeri iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

"Tumpuan diberikan kepada aspek penjarakan fizikal serta keluasan sesuatu premis," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau turut mengingatkan orang ramai mengimbas kod QR di aplikasi MySejahtera atau merekodkan nama dan nombor telefon dalam buku catatan di setiap premis yang dikunjungi, yang menurutnya bertujuan memudahkan pihak berkuasa mengesan pergerakan individu serta kontak rapat sekiranya terdapat kes Covid-19 di premis yang dikunjungi mereka.

"Bagi pemeriksaan suhu, ia hanya perlu dilakukan sekali sahaja jika berada di premis atau bangunan yang sama seperti kompleks beli belah," katanya.

Jelasnya PDRM akan terus menjalankan operasi pematuhan SOP bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan yang telah dikeluarkan dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: