Menangani isu kelulusan palsu

A
A
A

MEMANG benar ulama-ulama terdahulu tidak memiliki sebarang ijazah. Adalah juga benar Nabi Muhammad SAW juga seorang ummi tiada mendapat pendidikan formal seperti kita dan tidak memiliki ijazah. Benar juga jika kita mengatakan segulung ijazah bukan prasyarat menjadi pemimpin yang berkaliber. Pemimpin kemerdekaan yang melawan British dahulu rata-ratanya tidak memiliki ijazah tetapi berjaya membawa perubahan dan menjadi pemangkin kepada kemerdekaan negara.

Namun dalam isu yang tular baru-baru ini bukanlah dipertikaikan seseorang pemimpin kerana ketiadaan ijazahnya ataupun ijazah yang tidak diiktiraf Kerajaan Malaysia, tetapi tindakan membuat representasi seolah-olah memiliki kelulusan yang sebenarnya tidak wujud, melambangkan ketidakjujuran diri mereka sendiri. Hanya setelah tular isu ini barulah diperbetulkan resume masing-masing.

Hak seseorang untuk belajar sama ada dari institusi diiktiraf atau tidak, adalah pilihan mereka dan tidak wajar dipersoal. Tiada salahnya belajar di institusi yang tidak diiktiraf Kerajaan Malaysia tetapi mereka perlu akur bahawa mereka tidak diberi keistimewaan dengan kelulusan yang tidak diiktiraf tersebut.

Cuma apa yang perlu diselidiki ialah sama ada kelulusan tersebut benar-benar diperoleh melalui sistem pembelajaran yang diterima atau sekadar membelinya sahaja. Perkara ini perlu disiasat kerana ia menjejaskan kredibiliti seseorang.

Fenomena mendapat kelulusan segera tanpa pembelajaran ini sebenarnya bukan hanya melanda dalam kalangan ahli politik, tetapi juga profesional seperti peguam, doktor perubatan, jurutera, arkitek dan lain-lain profesion. Malah dalam kalangan ahli akademik juga dikatakan berlaku.

Ironinya dalam meredakan isu ini ada yang mengambil pendekatan partisan memberi pelbagai ulasan. Mereka merupakan pentadbir kerajaan dan ada juga pentadbir pusat pengajian tinggi. Mereka menghujahkan, tidak penting mendapat ijazah daripada universiti yang diiktiraf selagi seorang itu bijak mentadbir, jujur dan berintegriti.

Jika ditelusuri hujah ini saya berpandangan tidaklah perlu lagi diadakan senarai universiti yang diiktiraf, semua universiti adalah sama dan mana-mana orang boleh mendapatkan ijazah dari mana-mana universiti. Malah permohonan untuk jawatan perkhidmatan awam juga tidak perlu disyaratkan perlu memiliki ijazah, cukup sekadar mempunyai daya kepimpinan dan berintegriti.

Jika pendekatan sebegini diambil caca-marbalah pentadbiran negara, punah-ranahlah perkhidmatan awam dan kucar-kacirlah negara kita.

Artikel Berkaitan:

Bagi saya isu ini harus dilihat dari aspek kebenaran, bukan siapa yang terlibat. Saya percaya lebih ramai lagi yang terlibat dalam isu seperti ini dan ia perlu ditangani dengan segera secara holistik, jika tidak ia akan membudaya dan tidak dapat dibendung lagi.

Saya bersyukur kerana masih ada dalam kalangan ahli politik yang masih berani menyatakan kebenaran walaupun ia bermakna mengkritik rakan-rakan satu parti mereka. Budaya begini perlu diperkasakan lagi kerana ia memihak kepada kebenaran walaupun ia hanya diamalkan politikus-politikus muda seperti Menteri Belia Dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. Saya mengajak ahli politik yang lebih senior tanpa mengira blok mencontohi sifat ini bagi meletakkan negara lebih cemerlang.

Sebagaimana dikatakan di atas, fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam kalangan ahli politik tetapi pelbagai sektor lain. Akhirnya nama negara akan tercemar dan Malaysia dilihat sebagai dipenuhi oleh orang yang memiliki kelulusan palsu. Akibatnya mereka yang benar-benar memiliki ijazah tulen, berhempas pulas mengulangkaji pelajaran dan mengkaji ilmu juga akan disyaki kelulusan mereka.

Malah dalam kalangan pelajar sekolah pula ia menjadi bualan, mereka percaya kelulusan boleh diperoleh dengan mudah tanpa perlu berusaha. Apatah lagi sebahagian pemimpin membela isu ini. Pelajar tidak lagi melihat kecemerlangan itu suatu yang perlu dikejar.

Justeru, undang-undang yang lebih ketat perlu digubal bagi mengekang penggunaan ijazah atau kelulusan palsu ini, sama ada ia bersifat menghalang seseorang membuat representasi memiliki suatu kelulusan yang tidak diiktiraf atau menjadikan suatu kesalahan menggunakan kelulusan palsu. Bagi ahli politik pula - elok menjadi suatu kesalahan pilihan raya yang boleh melucutkan hak seorang calon pilihan raya memenangi suatu kerusi Parlimen atau DUN.

Undang-undang juga perlu digubal bagi menyeragam dan mengawal penggunaan gelaran seperti Dr, Profesor, Drs, Datuk, Dato’ dan banyak lagi. Suatu pusat perlu diadakan bagi mendaftar penggunaaan gelaran-gelaran ini dan akses diberikan kepada orang awam bagi menyemak gelaran-gelaran tersebut agar ia tidak mudah disalahgunakan.

*Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia