Tourism Malaysia sediakan baucar e-tunai RM450,000

NANCY
NANCY
A
A
A

MELAKA - Tourism Malaysia menyediakan baucar e-tunai bernilai RM450,000 bagi menggalakkan rakyat berbelanja menerusi Kempen 'Shop and Be Rewarded' yang berlangsung dari 26 hingga 28 Mac ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, menerusi kempen itu, diskaun RM10 dengan setiap pembelian minimum RM50 di 30 pusat beli-belah dan peruncit yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Katanya, pada tahun 2019, industri beli-belah merupakan penyumbang utama kepada komponen perbelanjaan pelancong domestik iaitu 37.8 peratus, namun tahun lepas pandemik Covid-19 melumpuhkan industri beli-belah dan peruncitan secara tidak langsung, terutama ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kempen 'Shop and Be Rewarded' di sebuah pusat beli-belah di Banda Hilir di sini, pada Selasa, yang turut dihadiri Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said dan Presiden Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, Tan Sri Teo Chiang Kok.

Menurutnya, kempen itu dilaksanakan dengan kerjasama Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia, selaras dengan Pelan Pemulihan Pelancongan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi bagi menggalakkan perbelanjaan domestik, sekali gus memulihkan industri beli-belah.

Nancy berkata, kempen berkenaan juga bertujuan meningkatkan kehadiran pengunjung ke pusat beli-belah yang terkesan dengan pandemik Covid-19 dan seterusnya meningkatkan jumlah perbelanjaan rakyat semasa tempoh kempen dijalankan.

"Kempen ini akan diteruskan pada fasa selanjutnya sekiranya ia mendapat sambutan daripada rakyat," katanya.

Sementara itu, Chiang Kok berkata, 30 pusat beli-belah melibatkan kira-kira 2,000 premis perniagaan daripada pelbagai kategori terlibat dalam kempen berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penganjuran kempen berkenaan merupakan satu inisitif yang efektif dalam usaha membantu mempercepatkan pemulihan industri beli-belah dalam negara yang terkesan dengan pandemik Covid-19

"Kita harap kempen ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia bukan sahaja memberi manfaat pada pengunjung atau pembeli, malah merancakkan industri beli-belah di negara ini," katanya. - Bernama