X

Kindly register in order to view this article
!

Singapura, Malaysia harap penyelesaian aman di Myanmar

Tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa tentera dan menuntut pembebasan pemimpin terpilih Aung San Suu Kyi, di Yangon pada 13 Februari lalu. - Foto Reuters
A
A

PUTRAJAYA - Singapura dan Malaysia hari ini menyuarakan harapan semua pihak di Myanmar tidak bertindak terburu-buru dan mencari penyelesaian aman berhubung ketegangan yang melanda negara itu sejak rampasan kuasa tentera.

Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan pada sidang akhbar bersama dengan rakan sejawatannya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Singapura dan Malaysia menggesa semua pihak berkepentingan di Myanmar berunding dan berdialog untuk merungkai segala kekusutan.

"Malaysia dan Singapura amat bimbang dengan situasi di Myanmar. Ini adalah bencana kemanusiaan... kami percaya keganasan terhadap orang awam tidak bersenjata satu tindakan yang tidak boleh dimaafkan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Balakrishnan berkata, kedua-dua negara tetap berpegang pada pendirian bahawa sepatutnya tidak boleh ada campur tangan luar dalam urusan dalaman Myanmar.

"Sebagai anggota ASEAN apa yang kami termampu adalah kami sedia melakukan yang terbaik untuk menyokong rakyat Myanmar yang dirasakan bahawa mereka berhak mendapat sesuatu lebih baik," ujarnya.

Tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa pada pagi 1 Februari, dan menahan Kaunselor Negara Aung San Suu Kyi, Presiden Win Myint, dan pemimpin Liga Demokratik Kebangsaan (NLD).

Junta juga mengisytiharkan perintah darurat selama setahun dan berjanji untuk "mengambil tindakan" terhadap tuduhan penipuan undi semasa pilihan raya umum 8 November, yang dimenangi NLD.

Myanmar digemparkan dengan tunjuk perasaan besar-besaran, menyaksikan lebih 2,600 orang ditahan dan 250 lagi terbunuh.

Dr Balakrishnan yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia mengadakan pertemuan dengan Hishammuddin di Putrajaya pada Selasa untuk membincangkan isu kepentingan bersama selain isu serantau dan antarabangsa.

Selepas itu, beliau dijadualkan mengunjungi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Perdana Putra pada 2.30 petang.

Dr Balakrishnan turut dijadual bertemu Menteri Kanan - Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob - dan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!