Mindanao perlu kepimpinan kuat untuk bangkit

A
A
A

BARU-BARU ini telah berjalan proses pungutan suara untuk membentuk struktur pemerintahan yang baharu di wilayah dalam krisis di Filipina iaitu Mindanao. Sebenarnya pungutan suara mengenai isu Bangsamoro sudah berlaku empat kali sebelum ini. Pungutan suara itu adalah pemanjangan dari sejarah perjuangan Bangsamoro yang mahu menentukan nasib sendiri.

Dalam sejarah Filipina, yang dijajah imperialis Sepanyol 1521-1898 (377 tahun) dan Amerika Syarikat 1898-1946 (48 tahun) , Bangsamoro di Mindanoa turut melancar perlawanan ke atas penjajah apabila Mindanoa juga diceroboh.

Bangsamoro di Mindanao telah menunjukkan daya juang yang tidak mudah menyerah kalah. Semangat mempertahankan diri oleh kesultanan Islam Mindanoa dan Sulu jelas adalah bernuansakan jihad yang disemangati oleh Islam. Bangsamoro menentang tentera Sepanyol, Jepun, Kristian Filipino dan Amerika Syarikat selama lebih 400 tahun dengan nekad yang kental untuk mempertahankan tanah air mereka.

Sejarah panjang perjuangan Bangsamoro bermula bila MNLF (Fron Nasional Pembebasan Moro) ditubuhkan pada 1969 diketuai Prof Nur Misuari. MNLF bertempur dengan tentera Filipina zaman Presiden Ferdinand Marcos yang memerintah dari 1965-1986. Peristiwa pembunuhan Jabidah (Jabidah Massacre) melibatkan kaum Muslimin Moro, mencetuskan perlawanan Bangsamoro dengan tentera Filipina.

Kerajaan Filipina pernah bersekongkol dengan penduduk Kristian dari luar, menubuh kumpulan militia digelar IIaga untuk memerangi etnik Moro. Banyak kes pelanggaran HAM berlaku. Pembunuhan massa di dalam masjid di kota Manili melibatkan 65 Moro Muslim awam pada Jun 1971, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Direkodkan pembunuhan brutal terjadi bila kumpulan IIaga memotong badan mangsa dan dimakan sebagai amalan ritual. Pada 24 September 1974, tentera Filipina membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang awam Moro di dalam masjid dalam peristiwa pembunuhan massa Malisbong.

Perjanjian Tripoli di Libya antara dua pihak MNLF dan kerajaan Filipina dimeterai pada 1976. Akan tetapi pada 1978, Sheikh Salamat Hashim menubuhkan kumpulan serpihan dari MNLF iaitu Fron Islam Pembebasan Moro (Moro Islamic Liberation Front - MILF), bermatlamat menubuh negara Islam. Proses keamanan antara kerajaan Filipina dengan MILF melalui empat presiden iaitu – Ramos, Joseph Estrada, Gloria Macapagal-Arroyo dan Benigno Aquino III.

Konflik bersenjata antara kerajaan Filipina dan pejuang Moro berlarutan. Pertempuran demi pertempuran berlaku. Sehingga era Presiden Corazon Aquino, setelah berunding dengan Nur Misuari, akhirnya pada 1989, diisytiharkan wujudnya Wilayah Autonomi Muslim Mindanao (Autonomous Region in Muslim Mindanao - ARMM) , juga digelar Republic Act No. 6734 atau ARMM Organic Act.

Artikel Berkaitan:

Pada 1991, Abdurajak Janjalani, seorang bekas guru yang belajar di Asia Barat menubuhkan Abu Sayyaf yang bergerak secara radikal dan militan di Mindanao.

Sejak pertempuran antara pejuang Moro dan kerajaan Filipina, sehingga sekarang, dianggar seramai 120,000 terbunuh.

Krisis Mindanoa sudah berlarutan sangat lama. Kuasa imperialis Sepanyol dan Amerika Syarikat yang menjajah Filipina bukan sahaja mahu menguasai bumi negara itu malah mahu menukar agama penduduk lokal dari Islam kepada Kristian atas nama "misi suci gereja" di Eropah.

Sejak kewujudan MNLF pada 1969 sehingga sekarang keganasan antara pihak kerajaan Filipina, MNLF, MILF dan Abu Sayyaf terus berlaku yang menyebabkan pembangunan wilayah Mindanoa yang banyak sumber asli, terbantut.

Pengumpulan suara yang sedang berlaku sekarang mengharapkan semua pihak mengundi untuk menubuhkan sebuah kerajaan baharu di bawah Wilayah Autonomi Bangsamoro di Muslim Mindanao (Bangsamoro Autonomous Region in Muslim Mindanao - BARMM) mengikut Bangsamoro Organic Law (BOL), sebagai ganti ARMM. Ini diperlukan untuk memastikan hak menentukan nasib sendiri bagi warga Mindanao, akan terus diusahakan.

Dipercayai di bawah BOL merupakan undang-undang untuk membina proses damai. Damai tanpa keadilan dan kebenaran tidak bermakna. Keadilan dan kebenaran sepatutnya menjadi terma rujukan untuk mengarah kepada mewujudkan Mindanao yang membangun dan sejahtera.

Pengumpulan suara yang berjalan kini sangat penting untuk menangani konflik yang sudah berlarutan bertahun-tahun lamanya.

Tuntutan untuk menentukan nasib sendiri melalui BARMM yang diharapkan akan berjaya mewujudkan kedamaian di wilayah Mindanao yang didambakan.

Dipercayai masa depan Mindanao akan lebih cerah bila Presiden Duterte menangani "Republic Act 11054 atau Bangsamoro Organic Law".

Pengalaman pahit peperangan antara pejuang MILF di bawah Komando Ameril Ombra Kato yang telah mengakibatkan 600,000 penduduk kampung kehilangan tempat tinggal, tidak harus diulangi. Inilah harga yang terpaksa dibayar oleh warga awam Mindanao jika perang berterusan.

Kita percaya BOL jika dikuatkuasa dan dilaksanakan dengan sempurna, kaum Muslim Moro boleh merancang dan mengatur kehidupan mereka berdasarkan syariah secara bertahap. Sesungguhnya langkah ini penting demi masa depan dan jangka panjang autonomi wilayah Mindanao dan Bangsamoro itu sendiri.

Perjanjian terdahulu yang gagal dimeterai iaitu "Memorandum of Agreement on Ancestral Domain (MOA-AD), perlu menjadi pedoman untuk melihat bagaimana keamanan boleh dicapai di bawah BARMM demi membangunkan perjanjian yang boleh menjamin kondisi yang subur untuk kedamaian.

Sangat perlu ketegangan antara kaum Muslimin dan penganut Kristian diredakan agar proses hidup harmoni antara agama dan kaum dapat diwujudkan. Walaupun perjanjian dan akta kali ini tidak sempurna, akan tetapi ia sekurang-kurang memberi peluang keamanan untuk diusahakan.

Inilah langkah yang didambakan oleh seluruh umat Islam rantau ini. Pihak yang bertelingkah perlu meletakkan keamanan dan kesejahteran berdasarkan keadilan dan kebenaran untuk kepentingan umat Islam di Mindanao sebagai agenda utama.

Adalah juga sangat penting pihak masyarakat sivil diturutsertakan dalam proses kedamaian ini agar peranan NGO juga boleh membantu mewujudkan keharmonian dan kerjasama dalam kalangan masyarakat awam di Mindanao. Keperluan warga masyarakat awam berpartisipasi dalam persekitaran yang sihat untuk membina rekonsiliasi sangat diperlukan.

Mindanao punya potensi untuk menjadi wilayah yang maju agar mencapai kualiti hidup yang lebih baik serta membentuk suasana harmoni untuk membina kesejahteraan wilayah berkenaan. Malaysia memiliki pengalaman yang tersendiri untuk dikongsikan dengan warga Mindanao untuk hidup berukun yang baik dan konstruktif. Inisiatif serantau diperlukan untuk menambahbaik proses membina keamanan dan penyelesaian yang lebih bertahan lama di wilayah Mindanoa dan juga di rantau ini.

* Penulis ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu