Maritim tahan 24 nelayan Vietnam ceroboh perairan Johor Timur

Seramai 24 nelayan warga Vietnam yang menaiki dua buah bot selepas dipercayai menceroboh menangkap ikan di perairan Johor Timur dekat Kota Tinggi pada Isnin. - Foto Ihsan APMM Johor
Seramai 24 nelayan warga Vietnam yang menaiki dua buah bot selepas dipercayai menceroboh menangkap ikan di perairan Johor Timur dekat Kota Tinggi pada Isnin. - Foto Ihsan APMM Johor
A
A
A

JOHOR BAHRU - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Zon Maritim Tanjung Sedili menahan 24 nelayan warga Vietnam yang menaiki dua buah bot selepas dipercayai menceroboh menangkap ikan di perairan Johor Timur dekat Kota Tinggi pada Isnin.

Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Kepten Maritim Mohamad Sulhan Zainon berkata, kedua-dua bot itu yang mempamerkan tanda nama seperti bot nelayan tempatan ditahan di kedudukan kira-kira 19 batu nautika timur laut Pulau Aur pada jam 10.32 pagi.

Menurutnya, kedua-dua bot terbabit bertindak memecut cuba meninggalkan kawasan itu apabila menyedari kehadiran pihak berkuasa, namun berjaya dipintas sebelum kesemua nelayan terbabit yang berusia 21 hingga 60 tahun ditahan.

“Semasa pemeriksaan, sebilangan kru dan tekong gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

"Rampasan dianggarkan bernilai kira-kira RM6.4 juta termasuk dua bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan laut dan bahan bakar. Ujian saringan Covid-19 turut dijalankan ke atas semua suspek," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah daripada Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/1963, Seksyen 6(1)(c) kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan yang sah.

"Maritim Malaysia Johor akan menggandakan usaha mencegah berlakunya kejadian rompakan dan pencerobohan di laut khususnya dari Vietnam di perairan Johor Timur daripada menghantui komuniti maritim setempat," tambahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan: