X

Kindly register in order to view this article
!

PSM sedia panggil semula Mohd Syahir

Prestasi Mohd Syahir pada saingan STL 2020 cukup bertenaga dan memukau. - Foto SepakTakraw League
A
A

PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) bersedia memanggil semula bekas tekong utama negara, Mohd Syahir Rosdi untuk menyertai skuad kebangsaan selepas digugurkan pada 2019.

Bagaimanapun Presidennya, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, Mohd Syahir perlu menjalani ujian simulasi ditetapkan pihaknya dahulu sebelum membuat keputusan penyenaraian semula pemain berkenaan.

“Pada dasarnya, Jawatankuasa Pembangunan Atlet dan Pengurusan PSM telah bersetuju untuk menganjurkan kejohanan berbentuk simulasi dari 8 hingga 10 April nanti.

"Kita akan bagi dia (Mohd Syahir) menentang regu yang kuat kerana dari apa yang saya lihat, prestasinya di pentas final STL (Divisyen Premier Liga Sepak Takraw ) sebelum ini begitu baik seolah-olah seperti kembali ke zaman kegemilangannya pada 2014 lalu,” katanya pada satu sidang media di sini pada Selasa.

Ahmad berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA 2021 di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini.

Mengulas lanjut, ujian simulasi itu dilakukan kerana merasakan tidak adil bagi pemain lain sekiranya Mohd Syahir terus diberikan ruang menyertai skuad kebangsaan tanpa bersaing dengan mereka.

Katanya, hukuman dikenakan ke atas Mohd Syahir sebelum ini bertujuan mendidik pemain KL Thunder dalam saingan STL itu dan percaya peluang kedua perlu diberikan kepadanya sekiranya beliau benar-benar telah berubah.

PSM telah menggugurkan Mohd Syahir Rosdi dan seorang lagi tekong kebangsaan, Muhammad Zulkifli Abd Razak pada Jun 2019 daripada skuad negara atas faktor disiplin.

Sementara itu, Ahmad memaklumkan PSM akan menganjurkan Terbuka Grand Prix (GP) selepas Aidilfitri nanti untuk menggantikan saingan STL berikutan jadual padat liga berkenaan, sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, hujung tahun ini.

“Kami juga merancang untuk menjemput pasukan dari negara luar beraksi pada Terbuka GP sekiranya sempadan negara dibuka nanti manakala STL dijangka bersambung semula selepas Sukan SEA,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!