Paling tua dalam kelas, Syafiq kongsi pengalaman digelar pak cik

firdaus
firdaus
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya paling tua dalam kelas serta budak-budak panggil saya pak cik ketika itu," kata Syaffiq Raffiqin Liow ketika berkongsi pengalaman belajar al-Quran selepas memeluk agama Islam.

Penceramah bebas dan juga Penerbit Radio (RTM dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) itu berkata, beliau mengambil keputusan belajar tahfiz pada waktu itu demi mendalami ilmu al-Quran.

Beliau yang menganut agama Islam pada 2006 ketika berumur 30 tahun berkata, pembelajaran tidak terhenti setakat itu apabila beliau kemudian memutuskan untuk mengukuhkan lagi ilmu al-Quran di Institut Latihan Dakwah Selangor (Ildas).

"Saya hampir menangis sebab tidak dapat baca ayat panjang sehinggakan saya cari seorang ustaz dan ustaz kena dengar saya baca setiap hari.

“Saya cakap kepada ustaz, selagi bacaan saya tak betul ustaz jangan bagi saya teruskan ke ayat seterusnya,” katanya pada Wacana Al-Quran Siri ke-102 bertajuk Baca Al-Quran Tanpa Tajwid Berdosakah? di Kumpulan Karangkraf pada Isnin.

Program itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail yang turut menampilkan Pengarah Urusan Master Trainer, Mantop PLT, Dr Mohd Zamri Mohd Zainulddin sebagai panelis.

Dalam program sama, Dr Anuar Hasin selaku qari jemputan turut memperdengarkan surah Al-Muzzamil ayat 1 hingga 4.

Sementara itu, Mohd Zamri berkata, asas kepada membaca al-Quran adalah dengan menyebut makhraj huruf dengan betul, dalam masa sama hukum tajwid turut menyempurnakan sebutan ayat dalam al-Quran.

Artikel Berkaitan:

zamri
zamri

Tambah beliau, menurut Ibn Qoyyim Al-Jawziyya, seseorang itu boleh disebut ahli Quran walaupun tidak boleh membaca dengan baik tetapi mampu memahami dan mengamalkannya.

“Ini memberikan satu kelegaan kepada orang Islam khususnya bangsa yang pelbagai yang sukar untuk menyebut bacaan al-Quran.

“Ulama-ulama terdahulu juga ada menyebut bahawa hukum membaca al-Quran dengan tajwid adalah fardu ain dan mempelajari tajwid seperti mad wajib, mad harus serta mad sifat jadi fardu kifayah.

“Bagaimanapun, ini bukanlah sesuatu yang boleh dijadikan hukum umum sebab ada isu tetapi realitinya dengan membaca al-Quran, subhanallah ia akan dipermudahkan,” katanya.

Mengulas lanjut Mohd Zamri berkata, Islam menggalakkan pembacaan al-Quran menggunakan huruf hijaiyyah dan bukan tulisan Rumi.

“Ini kerana sebahagian daripada pembelajaran tersebut akan mendapat keajaiban daripada ALLAH.

"ALLAH akan permudahkan sesiapa yang nak pelajari al-Quran,” katanya.