X

Kindly register in order to view this article
!

Hanya ekzos jenama tiruan di bawah kuasa KPDNHEP: Rosol

Rosol menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada Selasa.
A
A

HULU TERENGGANU - Bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dalam isu ekzos motosikal yang diubah suai hanya melibatkan jualan ekzos berjenama tiruan dan gagal mempamerkan tanda harga.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, penjualan ekzos motosikal yang boleh mengeluarkan bunyi yang kuat, bising dan mencemarkan alam sekitar bukan di bawah tanggungjawab kementerian tersebut.

“Isu ekzos bising ini melibatkan dua atau tiga kementerian, KPDNHEP hanya boleh ambil tindakan jika peniaga jual ekzos berjenama tiruan (perihal dagangan palsu) dan tidak letak tanda harga pada barang jualan.

“Itu bidang kuasa kita tapi sekiranya ekzos bunyi bising dan cemarkan alam itu bawah bidang kuasa polis dan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya selepas menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada Selasa.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu itu berkata demikian mengulas laporan bahawa polis hanya mengambil tindakan penguatkuasaan sahaja manakala KPDNHEP berkuasa mengambil tindakan terhadap kedai menjual ekzos diubah suai.

Rosol (tengah) memegang plakat mengatakan beliau sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada Selasa.
Rosol (tengah) memegang plakat mengatakan beliau sudah lengkap menerima dua dos vaksin Covid-19 di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu pada Selasa.

Menurut Rosol, mana-mana peniaga yang didapati menjual ekzos motosikal berjenama tiruan boleh diambil tindakan di bawah Akta Cap Dagangan 2019 manakala kegagalan mempamerkan tanda harga pula di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Bagaimanapun katanya, setakat ini KPDNHEP belum menerima laporan berhubung pemilik premis perniagaan aksesori kenderaan bermotor termasuk ekzos menggunakan perihal cap dagangan palsu dan tidak mempamerkan tanda harga jualan.

Sehubungan itu beliau meminta kerjasama orang ramai membuat laporan sekiranya ada peniaga melakukan kesalahan itu bagi membolehkan penguat kuasa KPDNHEP mengambil tindakan sewajarnya.

Sementara itu, Rosol turut memberi jaminan bahawa bekalan bahan mentah dan barangan keperluan harian mencukupi menjelang Ramadan pada bulan depan.

“Kita sudah adakan mesyuarat yang dipengerusikan menteri sendiri untuk pastikan bekalan makanan cukup dan tiada kenaikan harga ketara menjelang puasa nanti,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!