Libas bapa saudara dengan parang, pembantu juruelektrik mengaku tidak bersalah

Tertuduh (tengah) dikawal polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu pada Selasa.
Tertuduh (tengah) dikawal polis menuju ke lokap Mahkamah Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Seorang pembantu juruelektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa kerana melibas parang sehingga mengakibatkan pergelangan tangan kiri bapa saudaranya hampir putus.

Tertuduh, Mohamad Asyraf Rahimi, 25, didakwa di hadapan Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Mohd Noor Deraman, 44, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian di Kampung Membatu Kok Lanas di sini pada jam 10.30 malam, 21 Februari lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen sama dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Faizuan Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam, Ilias Mohd Nor.

Faizuan sebelum itu tidak mencadangkan jaminan terhadap tertuduh kerana dakwaan serius yang dihadapi lelaki itu.

“Jaminan dibimbang akan mengganggu mangsa dan saksi kerana rumah keluarga tertuduh terletak dekat dengan rumah mangsa dalam jarak tujuh kilometer,” katanya.

Ilias dalam rayuan memohon jaminan minimum terhadap anak guamnya kerana lelaki itu perlu menyara kedua ibu bapa dan memberi jaminan tertuduh tidak akan mengganggu mangsa dan saksi.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah bagaimanapun tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki cedera hampir putus tangan kiri selepas diserang dengan parang oleh anak saudaranya.

Kejadian berpunca dipercayai akibat salah faham berkaitan wang yang diminta oleh mangsa daripada bapa mangsa yang juga datuk kepada tertuduh.