Kerajaan Kelantan rayu rakyat segera daftar vaksin Covid-19

Ahmad menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech daripada Jururawat Kesihatan Awam dari Klinik Kesihatan Bandar Kota Bharu, Suhaila Mansenun di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa.
 - Foto Bernama
Ahmad menerima suntikan dos kedua vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech daripada Jururawat Kesihatan Awam dari Klinik Kesihatan Bandar Kota Bharu, Suhaila Mansenun di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa.
 - Foto Bernama
A
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob merayu kepada penduduk di negeri ini supaya segera mendaftar sebagai penerima vaksin Covid-19 berikutan jumlah pendaftaran masih rendah berbanding negeri-negeri lain.

"Sepatutnya Kelantan mendapat sebanyak 1.2 juta dos vaksin tetapi jumlah yang mendaftar amat sedikit. Saya merayulah kepada semua rakyat agar membuat pendaftaran melalui pelbagai kaedah yang disediakan sama ada melalui aplikasi MySejahtera ataupun secara manual.

"Jumlah yang mendaftar sekarang sedikit, angka sebenar saya tidak ketahui tetapi sedikit berbanding negeri-negeri lain seperti yang dimaklumkan kepada saya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima suntikan dos vaksin Covid-19 kali kedua di Kompleks Kota Darulnaim di sini pada Selasa.

Turut sama menerima suntikan kali kedua itu ialah Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Exco kerajaan negeri, ketua Jabatan kerajaan dan petugas barisan hadapan.

Ahmad menunjukkan plakad 'Saya telah menerima dos kedua vaksin Covid-19' di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa. - Foto Bernama
Ahmad menunjukkan plakad 'Saya telah menerima dos kedua vaksin Covid-19' di Dewan Bunga Teratai Kompleks Kota Darulnaim pada Selasa. - Foto Bernama

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, bagi mengatasi masalah pendaftaran rendah itu, kerajaan negeri akan mengarahkan pegawainya supaya menyampaikan maklumat berkaitan suntikan tersebut kerana mungkin ada maklumat yang tidak sampai kepada masyarakat.

"Kami tidak mahu mereka mengambil sikap tunggu dan lihat. Bagi saya tidak perlu lagi mengambil sikap sedemikian, segeralah berdaftar dan mendapat nombor giliran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai peruntukan sebanyak RM20 juta yang bakal diterima daripada Kerajaan Persekutuan, Ahmad Yakob berkata, beliau amat berterima kasih dengan bantuan yang diumumkan itu.

"Dana itu akan digunakan sebaik-baiknya dan paling penting peruntukan itu akan disalurkan secara umumnya untuk membela rakyat dan membina infrastruktur seperti jalan serta kemudahan lain,” katanya.

Pada Sabtu, Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan kerajaan telah setuju menyalurkan secara langsung bantuan khas berjumlah RM260 juta kepada semua kerajaan negeri.

Tengku Zafrul berkata, bantuan berkenaan akan diagihkan secara sama rata, iaitu RM20 juta kepada setiap negeri untuk pelaksanaan segera projek-projek kecil bagi memulihkan ekonomi setempat di peringkat akar umbi. - Bernama