Faiz nafi tuduhan cabul wanita

Faiz Fadzil
Faiz Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Faiz Fadzil pada Selasa menafikan tuduhan mencabul seorang wanita awal Mac lalu.

“Saya mengesahkan telah dipanggil untuk satu siasatan pihak polis pada 18 Mac lalu berkaitan satu laporan polis ke atas saya.

"Saya telah memberikan kerjasama kepada pihak polis dan akan terus memberikan kerjasama bagi membantu proses siasatan.

“Saya telah memberikan kenyataan saya kepada pihak polis. Saya menafikan tuduhan tersebut. Butiran pembelaan saya tidak dapat didedahkan memandangkan siasatan masih berjalan," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang bagi membersihkan namanya.

Tambahnya, buat masa ini beliau akan meneruskan tugasnya sebagai ADUN seperti biasa.

Pada Selasa, media melaporkan seorang ADUN dari utara Semenanjung disiasat polis atas tuduhan mencabul seorang pembantu kedai wanita dua minggu lalu, ketika mereka keluar membeli-belah di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Khalid Othman dilaporkan berkata, wanita berusia 31 tahun itu membuat laporan polis pada 16 Mac.

Artikel Berkaitan:

Dalam laporan itu, wanita itu mendakwa suspek cuba memegang tangannya namun ditepisnya, dan di dalam kereta suspek kemudiannya, didakwa meraba, menarik bahu pengadu dan memegang tangan wanita itu tetapi ditolak.

Dalam laporan tersebut, wanita itu turut menyatakan suspek mengingatkannya agar tidak memberitahu sesiapa mengenai kejadian berkenaan.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan, undang-undang yang menetapkan kesalahan berhubung dengan menggunakan kekerasan untuk memalukan kesopanan seseorang.