X

Kindly register in order to view this article
!

Tali layang-layang rupanya...

Kecederaan yang dialami mangsa pada bahagian leher.
A
A

BUTTERWORTH - Seorang anggota polis berpangkat lans koperal cedera di leher selepas tersangkut pada tali tangsi yang melintang di susur masuk ke Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) di Sungai Dua di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mangsa yang menunggang motosikal dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU selepas selesai bertugas di Hospital Bukit Mertajam.

Menurutnya, ketika tiba di Kilometer 129.6 arah utara, mangsa tersangkut pada tali tangsi yang melintang di jalan berkenaan.

"Mangsa mengalami luka yang agak dalam selepas lehernya tersangkut pada tali tangsi yang melintang jalan. Ketika kejadian, mangsa telah memberhentikan motosikalnya dan dia dibantu orang awam sebelum dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk rawatan.

"Mangsa mengalami luka di bahagian leher depan dan belakang, jari tangan kiri serta bahu kanan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Noorzainy berkata, siasatan mendapati tali tangsi yang merentangi jalan dari jejambat berhampiran susur itu disyaki tali layang-layang yang terputus.

"Saya menafikan berlaku sabotaj atau khianat dalam kes ini seperti yang ditularkan dalam media sosial. Dakwaan bahawa anggota polis tersebut nyaris maut juga tidak benar.

"Ini kerana pemeriksaan pihak PLUS di lokasi kejadian juga mendapati, tali tangsi tersebut dalam keadaan berselerak dan tidak terikat pada mana-mana tiang atau objek malah ia dijumpai di atas rumput di bahu jalan," katanya.

Katanya, kejadian tersebut adalah yang pertama berlaku di kawasan tersebut.

Satu klip video berdurasi 31 saat tular di Facebook berhubung kejadian seorang anggota polis mengalami luka di leher setelah terlanggar tali tangsi yang melintang jalan ketika menunggang motosikal.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!