BAM tidak hantar skuad utama ke Hanoi

Zii Jia bakal diketepikan dalam senarai ke Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi, hujung tahun ini. Foto: FB BAM
Zii Jia bakal diketepikan dalam senarai ke Sukan SEA Vietnam 2021 di Hanoi, hujung tahun ini. Foto: FB BAM
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) tiada perancangan menghantar skuad utama negara untuk beraksi pada Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam, hujung tahun ini.

Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, rancangan untuk mengetepikan skuad utama dibarisi antara lain juara baharu Kejohanan Seluruh England 2021, Lee Zii Jia dan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik daripada beraksi pada temasya dwitahunan itu kerana mahu mereka memberi tumpuan pada empat kejohanan besar tahun ini.

Katanya, kejohanan besar itu adalah Sukan Olimpik Tokyo 2020, Piala Thomas dan Uber di Denmark, Kejohanan Badminton Dunia di Sepanyol dan Piala Sudirman di China.

“Kami telah mengusulkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk menghantar skuad dibarisi pemain muda dan pelapis untuk beraksi di Hanoi nanti.

“Saya percaya percaturan ini akan memberikan satu motivasi positif kepada para pemain berkenaan untuk mewakili negara ke Sukan SEA 2021 kerana ia juga merupakan kejohanan terbesar memandangkan kebanyakan gergasi badminton dari Asia Tenggara,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2021 di Wisma MOM.

Skuad badminton negara menyumbang tiga pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Manila, Filipina menerusi Zii Jia (perseorangan lelaki), Aaron-Wooi Yik (beregu lelaki) dan S Kisona (perseorangan wanita).

Kenny pada masa sama berharap supaya pemain yang tersenarai kelak akan tampil beraksi sebaik mungkin bagi memastikan cabaran negara pada temasya berkenaan tidak menghampakan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, BAM juga sedang melakukan analisis terhadap pasukan dari negara lain yang akan bertanding di Hanoi nanti namun menegaskan tidak mengetahui sama ada mereka juga mempunyai rancangan yang sama seperti diusulkan pihaknya.

“Apa yang penting adalah pemain harus fokus dan berlatih bersungguh-sungguh bagi menghadapi saingan di Sukan SEA 2021 nanti,” katanya. - Bernama