Hukuman penjara, denda terhadap bekas KSU KKLW kekal

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa mengekalkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM3 juta terhadap bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman yang didapati bersalah bersubahat dengan anak sulungnya membabitkan kes rasuah sebanyak RM627,636.

Mahkamah turut mengekalkan keputusan sama iaitu penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta terhadap anaknya, Ahmad Zukhairi Mohd Arif atas empat tuduhan meminta dan menerima suapan.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan perkara itu selepas menolak rayuan Mohd Arif, 64, dan Ahmad Zukhairi, 39.

Ia sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen di sini yang mensabitkan kesalahan mereka terhadap semua pertuduhan.

Ketika membaca keputusan berkenaan, Aslam berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan elemen-elemen yang terkandung dalam pertuduhan.

Menurutnya, Hakim Azura Alwi juga tidak terkhilaf ketika mensabitkan kesalahan berkenaan.

Dalam pada itu, beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda membabitkan kedua-duanya sementara menunggu rayuan didengar di Mahkamah Rayuan.

"Namun, mahkamah menaikkan jumlah ikat jamin ke atas setiap seorang daripada RM500,000 kepada RM800,000," katanya.

Artikel Berkaitan:

Aslam berkata demikian selepas peguam, Guok Ngek Seong yang mewakili Mohd Arif dan anaknya memohon untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu dengan alasan dibimbangi akan menyebabkan kebanjiran permohonan sama di mahkamah rendah kelak.

"Pihak kami tidak membantah permohonan untuk menangguhkan hukuman penjara tetapi denda berkenaan perlu dilunaskan hari ini," katanya.

Mohd Arif didakwa bersubahat dengan Ahmad Zukhari menerima rasuah berjumlah RM627,636 di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia di sini antara jam 4 petang dan 7 malam pada 23 Ogos 2016.

Ahmad Zukhairi didakwa menerima suapan wang tunai Dolar Singapura jumlah yang sama daripada Pengarah Wazlina Sdn Bhd, Mohd Safian Mohd Salleh pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Suapan itu sebagai upah untuk Ahmad Zukhairi dan bapanya kerana memberi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Sistem Solar Hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM60 juta kepada syarikat sekutunya, Eramaz Sdn Bhd (Eramaz).

Mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Bagi pertuduhan kedua, ahli perniagaan itu didakwa meminta suapan sebanyak dua peratus bernilai RM1.2 juta daripada Mohd Safian sebagai upah untuknya dan bapanya kerana membantu Eramaz mendapat Projek BELB di Dorsett Grand Subang Hotel, Subang Jaya pada 17 Mac 2016.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Ahmad Zukhairi didakwa menerima wang tunai RM130,000 daripada kontraktor Zul Fadli Rozi sebagai upah membantu syarikat HH Global Construction Sdn Bhd untuk mendapatkan projek cadangan membina dan menyiapkan Dataran Rekreasi di Tasik Kenyir, Terengganu.

Perbuatan itu dilakukan di Permai Golf & Country Club, Kota Kemuning pada jam 8 pagi, 18 Ogos 2016 dan di Garden Course Glenmarie Golf & Country Club, Shah Alam pada September 2016.