YBK sasar bantu 1,000 keluarga menerusi program SKR

Zainal (dua dari kiri) bergambar bersama kotak makanan yang akan diberikan kepada golongan memerlukan pada majlis pelancaran Program SKR di Petaling Jaya, Selangor. Foto: Asril Aswandi Abd Shukor
Zainal (dua dari kiri) bergambar bersama kotak makanan yang akan diberikan kepada golongan memerlukan pada majlis pelancaran Program SKR di Petaling Jaya, Selangor. Foto: Asril Aswandi Abd Shukor
A
A
A

PETALING JAYA - Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) menyasarkan untuk membantu 1,000 keluarga menerusi pelaksanaan Program Sinar Kasih Ramadan (SKR) yang kini memasuki tahun ke-13 penganjurannya.

Pengerusinya, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata, pada kali ini, pihaknya menjalin kerjasama dengan Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) dan Yayasan Bina Kesejahteraan bagi menjayakan program tahunan tersebut.

Beliau berkata, program julung kali itu berkonsepkan penyediaan keperluan bahan makanan kepada keluarga kurang berkemampuan dengan isi rumah seramai lima orang.

"Bantuan ini bagi menampung keperluan berbuka dan bersahur sepanjang Ramadan ini," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran program berkenaan yang berlangsung di Rumah YBK pada Selasa.

Mengulas lanjut, Zainal berkata, bantuan itu membabitkan wang tunai bernilai RM300 bagi satu keluarga yang terpilih di seluruh negara.

Selain itu, Zainal berkata, pihak terlibat juga akan menerima kotak makanan Rezeki Ummat daripada MyFundAction bernilai RM300 termasuk barangan asas seperti beras, tepung dan minyak masak untuk kegunaan dalam tempoh sebulan.

"Jumlah keseluruhan kos sumbangan wang tunai dan kotak makanan ini adalah dijangka sebanyak RM600,000," katanya.

Dalam pada itu, Zainal berkata, program itu bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat, sektor kerajaan dan korporat untuk infak sumbangan kepada golongan yang memerlukan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sejak 2002, YBK telah membantu 3,031 keluarga di seluruh Semenanjung Malaysia dengan jumlah sebanyak RM1.56 juta.

"YBK turut mengalu-alukan sumbangan mana-mana pihak untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara," katanya.

Dalam pada itu mana-mana pihak yang ingin menyampaikan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Islam YBK: 12038010002132.