EAIC terima 27 aduan berhubung SJR tahun lepas

Mahmood (tiga dari kanan) membuat pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya yang melalui SJR di Plaza Tol USJ pada Selasa. Turut sama Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman (dua dari kanan). Foto Bernama
Mahmood (tiga dari kanan) membuat pemeriksaan ke atas pengguna jalan raya yang melalui SJR di Plaza Tol USJ pada Selasa. Turut sama Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Abd Khalid Othman (dua dari kanan). Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima 27 aduan daripada orang ramai berhubung isu di sekatan jalan raya (SJR) pada tahun lepas.

Pesuruhjaya EAIC, Tan Sri Mahmood Adam berkata, untuk tahun ini sebanyak 12 aduan diterima setakat ini.

Menurutnya, aduan yang paling kerap diterima ialah anggota bertugas meninggikan suara ketika meminta dokumen atau bertanya soalan.

“Tetapi setelah dikenal pasti, apa yang berlaku hanya kerana salah faham.

"Mereka (para petugas) mungkin meninggikan suara ketika itu kerana memakai pelitup muka ketika menyoal pengguna jalan raya atau bunyi bising kenderaan yang lalu di sekatan itu," katanya selepas melakukan lawatan rasmi ke SJR di Plaza Tol Putra Heights pada Selasa.

Menyifatkan jumlah aduan yang diterima itu rendah, Mahmood bagaimanapun berkata, pihaknya akan terus memantau dan mengkaji aduan berkenaan bagi tujuan penambahbaikan sewajarnya.

Katanya, beberapa aduan juga telah dikemukakan kepada agensi penguat kuasa berkaitan untuk tindakan lanjut termasuk memberikan teguran atau nasihat kepada para petugas.

Sementara itu, Mahmood berkata, lawatan bertujuan meninjau prosedur yang dilaksanakan di SJR di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), selain menyantuni petugas barisan hadapan.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lawatan itu juga bertujuan mengenal pasti cabaran dan kekangan yang dihadapi anggota PDRM di lapangan di samping menyampaikan kata semangat kepada para petugas supaya melaksanakan tugas dengan penuh integriti.

Katanya, EAIC juga sedang mengkaji syor penambahbaikan berkaitan yang dikenal pasti di SJR di bawah seliaan PDRM selaras dengan fungsi EAIC di bawah Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009. - Bernama