Nilai eksport perkayuan usahawan Bumiputera jauh ketinggalan

A
A
A
PUTRAJAYA - Sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih jauh ketinggalan berbanding industri tersebut.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ia dibuktikan melalui nilai eksport perabot hanya mencapai satu peratus.

"Walaupun pada masa kini eksport produk perkayuan dan perabot negara dilihat membanggakan di pasaran dunia, namun begitu, sumbangan usahawan Bumiputera dalam nilai eksport perkayuan masih jauh ketinggalan," katanya.

Menurutnya, kementerian melalui Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah melaksanakan pelbagai program ke arah memastikan bahawa agenda Bumiputera terus diperkasakan.

"Antara program yang sedang dilaksanakan adalah Program Peningkatan Kapasiti Pengeluaran di Kilang Kerja Kayu SME Bumiputera dengan usahawan yang layak diberi pinjaman mesin berteknologi tinggi untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran yang dapat bersaing dengan lebih kompetitif dalam pasaran," katanya dalam ucapan Majlis Anugerah Usahawan Baharu Bumiputera Sektor Perkayuan pada Selasa.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Menteri, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Beliau berkata, MTIB juga telah melaksanakan program Credible Entrepreneur, Marketing and Promotion (CEMP) untuk membimbing dan membentuk usahawan Bumiputera bagi menghasilkan produk untuk pasaran eksport.

"Melalui program ini, seramai tiga usahawan telah berjaya mengeluarkan produk perabot berjenama sendiri untuk pasaran eksport," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, kerajaan sentiasa proaktif dalam mengukuhkan kedudukan usahawan Bumiputera agar mampu bersaing secara kompetitif di pasaran global.
Artikel Berkaitan:


"Kita mahu supaya program yang dilaksanakan bukan sekadar melahirkan usahawan Bumiputera tetapi memastikan mereka boleh berdikari dan bersaing dalam pasaran terbuka," katanya.

Sementara itu, pada sidang akhbar yang diadakan, Jeck Seng berkata, antara faktor yang dikenal pasti punca usahawan Bumiputera sukar menembusi pasaran antarabangsa adalah persaingan selain perlu berdepan dengan cabaran yang sukar.

"Ia bukan mudah. Memang memerlukan usaha daripada usahawan itu sendiri kerana kita mahu mereka mengambil peluang tersebut," katanya.

Menurutnya, satu kajian dan cadangan diperlukan untuk dikemukakan bagi membolehkan kerajaan membuat penilaian terhadap usahawan Bumiputera dalam menembusi pasaran antarabangsa.

"Tapi kita perlu ingat, jangan kaji dan 'study' lama sangat. Perlu ada tempoh masa supaya kita dapat meraih pulangan," katanya.

Terdahulu pada majlis itu Jeck Seng turut menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Bersama Industri bagi pelaksanaan Program Smart- Partnership.

TAMAT