X

Kindly register in order to view this article
!

Datuk Seri didakwa minta suapan RM300,000 lepaskan 22 warga China

Mohammed Al Faizal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas pertuduhan meminta suapan berjumlah RM300,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China, tahun lalu. Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM300,000 bagi membantu melepaskan 22 warga China tahun lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammed Al Faizal Mohammed, 45, didakwa secara rasuah meminta suapan berjumlah RM300,000 daripada seorang ahli perniagaan, Lim Seng Chye, 41, sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Mohammed Al Faizal juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah bersetuju menerima wang tunai RM176,000 daripada Seng Chye sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 orang warganegara China daripada tahanan polis dan JIM.

Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukannya di sebuah restoran di Jalan Dua, Kampung Baru Subang, Petaling, pada jam 9.30 malam, 22 September 2020, mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Hakim Rozilah Salleh memutuskan Mohammed Al Faizal dikenakan jaminan RM100,000 setelah Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Fadhli Ab Wahab menawarkan jumlah tersebut bagi memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Tertuduh yang diwakili peguam bela T Tamil Salvan dan Benedict Anand itu diarah untuk melapor diri setiap awal bulan di pejabat SPRM Selangor dan pasportnya diserahkan pada mahkamah manakala sebutan semula kes pada 21 April depan.

Rozilah turut membatalkan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Mohammed Al Faizal pada Isnin selepas kegagalan tertuduh menghadiri pertuduhan kes yang sepatutnya dijalankan semalam.

Rozilah turut memberi amaran kepada Mohammed Al Faizal bahawa mahkamah tidak akan memaafkannya sekiranya dia mengulangi tindakan yang sama.

Pada Isnin, mahkamah mengeluarkan waran tangkap kepada tertuduh apabila gagal menghadirkan diri bagi pertuduhan kes setelah dimohon pihak pendakwaan.

Tamil Salvan selepas itu memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya pada ketika itu sedang mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur kerana mengalami artritis.

Mohammed Al Faizal tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam pada jam 8.45 pagi dengan berkerusi roda dan diiringi anggota SPRM.

Pada 18 Mac lalu, tertuduh telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan termasuk dua pertuduhan pilihan iaitu secara rasuah menerima suapan berjumlah RM176,000 daripada seorang ahli perniagaan sebagai dorongan untuk membantu melepaskan 22 warga China dari tahanan polis dan JIM. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!