Warga emas rugi RM38,000 diperdaya Love Scam

Gambar kecil; Hoo Chang Hook
Gambar kecil; Hoo Chang Hook
A
A
A

JEMPOL - Seorang wanita warga emas mengalami kerugian RM38,000 selepas diperdaya sindiket Love Scam.

Ketua Polis daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kejadian itu bermula apabila mangsa berusia 66 tahun berkenalan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Micheal Tan melalui Facebook pada Julai tahun lalu.

"Mangsa tidak pernah berjumpa dengan suspek secara bersemuka sebaliknya hanya berhubung melalui Facebook Messenger sahaja.

"Susulan mempercayai hubungan secara maya itu, mangsa telah diminta untuk membantu suspek selepas mendakwa mengalami masalah kewangan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Katanya, mangsa kemudiannya memberikan wang berjumlah RM11,000 kepada suspek melalui akaun yang berbeza, tetapi tidak menyimpan resit transaksi kemasukan duit kepada suspek.

Namun, disebabkan kecewa ditipu mangsa bertindak memutuskan hubungan dengan suspek.

"Seterusnya pada Oktober tahun lalu, mangsa telah dihubungi oleh pihak yang mendakwa daripada Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melalui Facebook Messenger dan menyatakan boleh selesaikan masalah mangsa yang ditipu oleh Micheal Tan ini.

"Mangsa yang terperdaya dengan tawaran 'FBI' itu telah membuat pembayaran sejumlah wang untuk perkhidmatan penyelesaian kes itu secara berperingkat berjumlah RM27,000 ke dalam dua akaun bank yang berbeza.

Artikel Berkaitan:

"Mangsa yang merupakan pesara kerajaan akhirnya tersedar telah ditipu kali kedua dan kali ini oleh 'FBI' sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM38,000," katanya.

Katanya, mangsa membuat laporan polis pada Rabu di Balai Polis Bahau dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.