Dua beradik pindah mesin bitcoin bernilai RM237,000 ditahan

Azhar (kiri) menunjukkan kesemua 79 unit mesin bitcoin yang ditemui dalam sebuah lori di Sungai Kob, Kulim pada Ahad lalu.
Azhar (kiri) menunjukkan kesemua 79 unit mesin bitcoin yang ditemui dalam sebuah lori di Sungai Kob, Kulim pada Ahad lalu.
A
A
A

KULIM- Tindakan dua beradik yang ingin memindahkan 79 unit mesin bitcoin bernilai RM237,000 terbongkar apabila ditahan sepasukan polis di kawasan Sungai Kob, di sini Ahad lalu.

Kedua-dua lelaki berusia 21 dan 27 tahun itu dilihat mencurigakan membolehkan pemeriksaan dilakukan Ketua Balai Polis Sungai Kob bersama anggota balai dan anggota D9 Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim yang menjalankan tugas rondaan lebih kurang jam 5 petang.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pemeriksaan ke atas lori dinaiki dua beradik itu menjumpai 79 unit mesin bitcoin yang dirancang untuk dihantar ke Sungai Petani.

"Soal siasat yang dijalankan mendapati mereka gagal memberikan keterangan terhadap semua mesin bitcoin yang dibawa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim pada Selasa.

Beliau berkata, suspek mendakwa menerima arahan menghantar barang daripada seorang lelaki melalui panggilan telefon yang meminta suspek mengambil barang di premis dekat Sungai Kob dalam daerah Kulim dan dihantar ke kawasan Sungai Petani di daerah Kuala Muda.

Azhar berkata, suspek gagal mengemukakan sebarang maklumat berkaitan pemilikan mesin tersebut atau sebarang dokumen berkaitan dan disyaki mesin tersebut telah dicuri dan ingin dijual.

"Nilai bagi satu mesin bitcoin boleh mencecah sehingga RM3,000 atau lebih," katanya.

Beliau berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan berkaitan kehilangan atau kecurian melibatkan mesin bitcoin ini.

Artikel Berkaitan:

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan munasabah terhadap mesin bitcoin yang dibawa dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih RM1,000 atau penjara tidak lebih dari setahun atau kedua-duanya, katanya.