X

Kindly register in order to view this article
!

'Syukur nyawa masih panjang'

SABAK BERNAM - Berpantang maut sebelum ajal. Demikian nasib seorang pembantu perawatan kesihatan yang terselamat meskipun kereta dipandunya ditenggelami air selepas terjunam ke dalam parit di Jalan Sepintas, Bagan Terap, di sini pada Isnin.
A
A

SABAK BERNAM - Berpantang maut sebelum ajal. Demikian nasib seorang pembantu perawatan kesihatan yang terselamat meskipun kereta dipandunya ditenggelami air selepas terjunam ke dalam parit di Jalan Sepintas, Bagan Terap, di sini pada Isnin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, kereta jenis Honda Accord dipandu Laila Manja Mat Jam, 54, hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam parit berkenaan.

Laila Manja berkata, kejadian berlaku semasa dia dalam perjalanan dari rumahnya di Parit 13 Tok Khalifah menuju ke tempat kerjanya di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam.

"Saya terpaksa pusing stereng ke kiri untuk mengelak berada di laluan bertentangan, tapi tak sangka kereta saya terus terperosok ke dalam parit.

"Pada mulanya, nampak juga sedikit cahaya pada bahagian cermin, namun lama-kelamaan gelap selepas keseluruhan cermin luar dipenuhi air," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Selasa.

Menurut Laila Manja, dia yang terperangkap di dalam kereta itu kira-kira 10 minit gagal membuka pintu kenderaannya yang dalam keadaan terkunci.

"Semasa terperangkap, saya tidak putus-putus berdoa supaya dapat diselamatkan, apatah lagi kereta sudah tenggelam.

"Saya hanya mampu mengetuk sekuat-kuatnya pintu kereta untuk menarik perhatian orang ramai yang mungkin ternampak kejadian," katanya.

Katanya, dia bersyukur kerana tiga lelaki yang menyaksikan kejadian itu terus 'terjun' ke dalam parit untuk menyelamatkannya.

"Mereka berjaya membuka salah satu pintu dan saya dibawa keluar ke tempat selamat.

"Hanya ALLAH sahaja tahu nasib saya yang ketika itu hanya mampu menangis ketakutan, tetapi saya bersyukur kerana nyawa saya masih panjang," katanya

Katanya, dia tidak mengalami sebarang kecederaan dan dibawa ke HTAJ Sabak Bernam untuk rawatan lanjut.

"Saya amat berterima kasih kepada tiga lelaki terbabit yang membantu menyelamatkan saya, jika tidak kerana mereka mungkin saya tiada lagi di dunia ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.14 petang.

Katanya, seramai tujuh pegawai dan anggota kemudiannya bergegas ke tempat kejadian.

"Pasukan kami berjaya membawa mangsa ke tempat selamat dengan menggunakan tali dan stretcher (usung) sebelum menyerahkan mangsa kepada HTAJ Sabak Bernam.

"Operasi sepenuhnya tamat pada jam 5.53 petang," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!