Buaya 100kg 'bersantai' di kolam ikan

Buaya seberat 100kg dan mempunyai panjang dua meter itu berjaya ditangkap pasukan penyelamat APM dan bomba di Kampung Titiku Pamalan, Keningau.
Buaya seberat 100kg dan mempunyai panjang dua meter itu berjaya ditangkap pasukan penyelamat APM dan bomba di Kampung Titiku Pamalan, Keningau.
A
A
A

KENINGAU - Tindakan pantas seorang suri rumah menghubungi pasukan penyelamat berhubung kehadiran kelibat buaya di kawasan kolam menyelamatkan nyawa keluarganya dan penduduk di Kampung Titiku Pamalan pada Isnin.

Menurut Fauziah Ibrahim, 41, mereka tidak pernah menyedari kehadiran haiwan liar di kolam milik keluarganya, namun salah seorang penduduk yang tinggal berhampiran ada memaklumkan terlihat kelibat seperti biawak di kawasan kolam terbabit.

"Kami tidak tahu sejak bila ada buaya di kawasan itu tetapi seorang penduduk menyatakan pernah terlihat kelibat haiwan di kawasan terbabit.

"Semalam (Isnin) pada jam 12 tengah hari, penduduk berkenaan terlihat lagi kelibat yang disangkanya biawak dalam keadaan 'bersantai' dan apabila diperhatikan ia sebenarnya adalah buaya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Fauziah berkata, sebaik menerima maklumat daripada penduduk terbabit, mereka sekeluarga bergegas ke lokasi kejadian yang terletak tidak jauh dari kampungnya.

Buaya seberat 100kg dan mempunyai panjang dua meter itu berjaya ditangkap pasukan penyelamat APM dan bomba di Kampung Titiku Pamalan, Keningau.
Buaya seberat 100kg dan mempunyai panjang dua meter itu berjaya ditangkap pasukan penyelamat APM dan bomba di Kampung Titiku Pamalan, Keningau.

"Kami sebenarnya menetap di Kampung Sondoton Baru dan kolam itu berada di kampung lain, namun memang setiap hari keluarga ipar saya akan ke kebun dan kolam ikan itu.

"Sebelum ini, kami hairan juga kenapa setiap kali cuba menangkap ikan di kolam itu, tiada hasil dan kami tidak menyangka rupanya mungkin sudah dibaham buaya selama ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Fauziah berkata, sebaik mendapati haiwan itu adalah buaya, dia segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan.

"Sebaik pasukan penyelamat tiba, mereka terpaksa mengambil masa hampir dua jam untuk menangkap buaya yang dilihat agresif berada di dalam kolam terbabit," katanya.

Sementara itu, Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Keningau, Leftenan Bakri Isin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.05 tengah hari dan bergegas ke lokasi kejadian untuk tindakan lanjut.

"Hasil kerjasama daripada pihak bomba, pasukan penyelamat berjaya menangkap buaya seberat 100 kilogram (kg) dan panjang dua meter itu pada jam 2.51 petang," katanya.