Sila log masuk terlebih dahulu.

Pasar Borneo bantu jana pendapatan peniaga

Henry beramah mesra dengan peniaga di Pasar Borneo di Seri Kembangan pada Sabtu.
Henry beramah mesra dengan peniaga di Pasar Borneo di Seri Kembangan pada Sabtu.
A
A
A

SERI KEMBANGAN - Pasar Borneo yang beroperasi sejak 2017 banyak membantu peniaga menjana pendapatan dan mewujudkan ekosistem perniagaan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negara.

Bermula dengan hanya bukaan khemah, kini pasar mingguan tersebut yang terletak di Jalan Jinma 7, Pusat Perdagangan Seri Kembangan lebih tersusun dan menghimpunkan hampir 60 peniaga yang berasal dari Sabah dan Sarawak.

Terdapat pelbagai 'signature' makanan serta produk dari Negeri Di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang di Pasar Borneo yang beroperasi pada setiap Sabtu antara jam 7 pagi hingga 11 pagi.

Jamulia Anak Kakol, 39, antara peniaga terawal yang mencari rezeki di pasar berkenaan dengan menjual penyaram di pasar itu.

Menurut Jamulia, sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung telah membantunya menjana pendapatan sampingan.

“Kini, keadaan Pasar Borneo telah berubah kerana ramai pengunjung berbanding pada awal pembukaannya. Mereka ke sini untuk mendapatkan makanan dari Sabah dan Sarawak,” kongsinya kepada Sinar Harian.

Jamulia ditemui ketika Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Henry Sum Agong mengadakan lawatan ke Pasar Borneo pada Sabtu untuk melihat keadaan usahawan dari Borneo menjalankan perniagaan mereka.

Artikel Berkaitan:

Jamulia memasak kuih penyaram yang merupakan makanan daripada Borneo.
Jamulia memasak kuih penyaram yang merupakan makanan daripada Borneo.

Sementara itu, Presiden Persatuan Borneo, Nelson Entap berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan Pasar Borneo sebagai hab pelancongan dan memperluaskan konsep yang sama di Lembah Klang serta negeri-negeri lain.

Menurut Nelson, pihaknya menerima permintaan yang tinggi daripada orang ramai untuk pembukaan Pasar Borneo, namun perlu memberikan fokus di kawasan Seri Kembangan yang menjadi lokasi tumpuan pembeli.

“Di sini juga ramai yang memohon untuk berniaga namun kita hadkan jumlahnya disebabkan tempat terhad.

“Kami memantau jualan mereka supaya dapat mengelakkan daripada terlalu ramai peniaga menjual produk yang sama. Jika ada kekosongan kami akan memberikan ruang kepada mereka untuk berniaga,” ujarnya.

Katanya, ada keperluan pasar itu dipindahkan ke lokasi lain disebabkan masalah kawasan yang sempit dan kecil.

“Setakat ini seramai 60 peniaga dah maksimum. Di sini semua peniaga berlesen dengan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Pada peringkat awal Pasar Borneo beroperasi di sini, ia tidak mengalami masalah kerana kami baru nak bertapak. Selepas peniaga terlalu ramai, kami meminta untuk diberikan lot kekal yang ada kemudahan tandas, air bersih, bekalan elektrik dan lain-lain,” katanya.

Henry (dua dari kiri) bergambar kenangan ketika lawatannya ke Pasar Borneo 
di Seri Kembangan pada Sabtu.
Henry (dua dari kiri) bergambar kenangan ketika lawatannya ke Pasar Borneo di Seri Kembangan pada Sabtu.

Nelson berkata, premis kekal membolehkan masa operasi pasar dilanjutkan sekali gus dijadikan sebagai hab pelancongan yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara.

Pasar produk dalam talian

Sementara itu, Henry mencadangkan peniaga di Pasar Borneo itu memasarkan produk mereka secara dalam talian (online) di [email protected] susulan sambutan menggalakkan produk dari Sabah dan Sarawak.

“Melalui DesaMall ini ia bukan hanya tertumpu untuk pembeli yang datang ke Pasar Borneo tetapi dapat diperluaskan kepada pasaran luar.

“Ini merupakan langkah yang baik dan saya yakin ia akan memacu peningkatan hasil jualan peniaga,” katanya.

Pada masa sama, Henry berkata, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) mempunyai beberapa program khusus agensi di bawah kementeriannya yang boleh memberikan manfaat kepada usahawan kecil.

“Saya harap usahawan dari Sabah dan Sarawak melihat potensi perniagaan mereka dan berhubung dengan agensi di bawah kementerian.

“Salah satunya DesaMall, mereka boleh mendaftar, pihak DesaMall akan menguruskan jualan secara online. Cara ini boleh diguna pakai khususnya pada waktu Covid-19 sekarang,” katanya.

Beliau berkata, [email protected] adalah inisiatif KPLB untuk membantu usahawan luar bandar memasarkan produk secara online melalui platform e-Dagang.

“Objektifnya untuk meluaskan pasaran produk dan meningkatkan hasil jualan usahawan luar bandar kepada 10 peratus ke 30 peratus setahun serta menambah baik kualiti produk untuk persediaan berniaga online,” katanya.

Henry berkata, peserta akan diberi kursus dan latihan secara praktikal sebagai persediaan.