Bantuan khas kewangan ambil kira kepentingan awam

Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 kepada penerima pelalian tersebut. -Foto Bernama
Kerajaan bersetuju untuk memberi bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin Covid-19 kepada penerima pelalian tersebut. -Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Pemberian bantuan khas kewangan bagi kesan mudarat vaksin Covid-19 berjumlah RM10 juta yang diumumkan kerajaan sangat berpadanan dengan situasi semasa yang dihadapi.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berkata, pemberian bantuan khas itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan awam dan meningkatkan lagi keyakinan mereka untuk menerima suntikan vaksin.

“Dibandingkan dengan sistem insurans biasa yang memerlukan tabungan atau sumbangan daripada pencarum, struktur yang dibentangkan untuk masyarakat awam oleh kerajaan ini adalah berpatutan mengambil kira kebajikan serta tidak membebankan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas mengenai adakah pengumuman bantuan khas kewangan berkenaan memberi kepercayaan kepada orang ramai untuk mengambil vaksin, Dr Malina berkata, perkara berkenaan perlu ditanya kepada masyarakat awam mengenai persepsi mereka.“Namun jika dilihat daripada konteks kesihatan awam serta perbandingan dengan apa yang diperoleh di negara lain, koordinasi pengurusan wabak di negara kita melalui strategi oleh Kementerian Kesihatan adalah sangat baik.

“Saya yakin majoriti kita menunggu masa sesuai untuk mendaftar. Dengan pendekatan ini, ia berpotensi menggalakkan lebih ramai yang akan turut mendaftar,” katanya.Sementara itu, Presiden Persatuan Pakar Kesihatan Awam Malaysia, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar pula berpendapat, tiada keperluan mendesak untuk pemberian bantuan khas kewangan kesan vaksin Covid-19 itu.

ARTIKEL BERKAITAN: RM500,000 jika hilang upaya, mati akibat vaksin Covid-19

Bagaimanapun, disebabkan kerajaan telah mengumumkannya, beliau menyokong pemberian bantuan kewangan berkenaan.

“Saya berpendapat tindakan kerajaan memberi bantuan khas tersebut kerana mahu menggalakkan orang ramai untuk divaksin.

Artikel Berkaitan:

“Kedua, mungkin disebabkan pelbagai persepsi yang negatif dan tidak betul terhadap program vaksin, jadi kerajaan menambah jaminan untuk memberi keyakinan kepada orang ramai,” katanya.

Dr Zainal berkata, beliau tidak nampak keperluan pemberian bantuan khas berkenaan kerana telah ada sistem pampasan sekiranya berlaku perkara-perkara yang di luar jangkaan.

“Sistem itu memang sudah ada dan kita rasa tak perlu sebenarnya pemberian bantuan khas sebab kita yakin dengan vaksin Covid-19. Tapi kerajaan nak bagi, tidak ada masalah,” katanya.