‘Usaha KPN perangi kepincangan dalam PDRM perlu disokong’

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyokong sepenuhnya usaha Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador untuk mendedahkan dan mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang melakukan kesalahan.

Menurutnya, tindakan itu wajib dilakukan bagi mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Tegas Musa, beliau tahu budaya sebegitu memang wujud di kalangan pegawai polis sejak dahulu lagi.

“Kita tidak boleh berkompromi dengan mereka yang menyeleweng dengan kartel serta tidak ikut peraturan, tindakan tegas mesti diambil demi membersihkan pasukan daripada imej dan budaya sebegitu.

“Dulu sewaktu era saya sebagai ketua polis negara, saya cuba untuk lakukan perkara sama (ambil tindakan kepada pegawai tak ikut peraturan), namun tidak kesampaian.

“Kontrak saya ditamatkan sebelum sempat bersihkan sepenuhnya PDRM daripada pegawai-pegawai tidak bertanggungjawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.Dalam pada itu, Musa berkata, sekiranya tindakan tegas diambil terhadap pegawai polis yang melakukan kesalahan, ia akan memberi keadilan kepada semua yang berada dalam PDRM tanpa mengira pangkat.

“Jadi tidak timbul isu hanya yang berpangkat rendah saja dikenakan tindakan tetapi semua yang melakukan kesalahan tidak kira apa pangkat, mereka wajar menerima hukuman atas kesalahan dilakukan.

“Pegawai yang betul-betul menjalankan tanggungjawab mereka dengan penuh integriti dan mengikut peraturan akan berasa lebih selesa untuk bekerja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Saya tidak mahu budaya 'The Blue Code Of Silent' dalam PDRM'

Sementara itu, penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim berkata, beliau percaya mana-mana ketua polis negara tentu mempunyai arah tuju dan iltizam untuk memperkasa organisasi mereka.

Namun, katanya, apa yang diteliti oleh rakyat ialah sama ada janji atau ada usaha dibuat ke arah perancangan tersebut.

“Ketua Polis Negara (Abdul Hamid) memang ada perancangan tetapi beliau juga perlu faham ekspektasi dan persepsi rakyat terhadap kenyataan.

“Tetapi jika melihat kepada prestasi PDRM pada masa kini, saya fikir pasukan ini sangat profesional kerana banyak pendedahan dibuat dan ramai pegawai kanan polis yang terlibat dengan masalah jenayah ditangkap,” katanya.

Tegasnya, itu membuktikan PDRM khususnya di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman yang dikendalikan Datuk Zamri Yahya menjalankan tugas mereka dengan baik bagi memastikan sasaran pucuk pimpinan tercapai.