Teliti langkah keselamatan bina lebuh raya bertingkat

No Image Caption
A
A
A

SETIAP kali memandu di jalan yang terlibat dengan pembinaan lebuh raya bertingkat, pasti perasaan pemandu berdebar-debar apabila melihat kerja-kerja pemasangan konkrit dan tiang yang sedang dijalankan di atas.

Paling merisaukan apabila berlaku kesesakan dan kenderaan berhenti betul-betul di bawah laluan pembinaan yang sedang giat dilakukan.

Perasaan risau akan keselamatan sebenarnya berasas kerana jika disoroti beberapa kes sebelum ini, sudah beberapa kali berlaku kes kemalangan di tapak binaan lebuh raya bertingkat.

Penghujung tahun lalu misalnya, seorang wanita nyaris maut apabila keretanya ditimpa batu konkrit dari struktur pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) yang jatuh di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang berhampiran Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menghala Ampang itu, mangsa dilaporkan cedera pada tangan.

Kereta Proton Saga FLX dipandunya remuk pada bahagian bumbung selepas ditimpa kepingan konkrit dianggarkan bersaiz 1 meter persegi.

Melihat kepada kerosakan kenderaan adalah satu keajaiban apabila wanita itu tidak maut.

Pada tahun ini pula dua kes berlaku iaitu pada 3 Mac lalu, sebahagian struktur tapak pembinaan sebuah lebuh raya berhampiran MRR2 di Desa Tun Razak di Kuala Lumpur runtuh dan menghempap sebuah van yang dinaiki lima individu.

Artikel Berkaitan:

Dalam kejadian itu dua pekerja kilang maut.

Semalam pula, dua pekerja binaan terbunuh manakala dua lagi cedera parah selepas sebuah kren jatuh di atas sebuah kereta di tapak pembinaan Lebuhraya SUKE berhampiran Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.

Pemandu kereta itu, seorang warganegara Malaysia, cedera parah sementara dua pekerja binaan jatuh 36 meter (120 kaki) dari tapak pembinaan dan mati di tempat kejadian.

Oleh itu langkah-langkah keselamatan melibatkan penmbinaan lebuh raya bertingkat perlu diteliti semula bagi mengelakkan lebih banyak nyawa terkorban.

Janganlah kerana mahu melengkapkan jaringan lebuh raya, banyak nyawa pengguna pula yang menjadi mangsa.