Kenapa hutan gambut penting

No Image Caption
A
A
A

TANGGAL 21 Mac adalah hari yang penting kerana pada tanggal tersebut Sambutan Hari Hutan Sedunia diraikan bagi mengingatkan masyarakat tentang pentingnya fungsi dan peranan hutan bagi kelangsungan hidup manusia.

Antara jenis hutan yang perlu diberi perhatian di Malaysia adalah hutan paya gambut. Hutan jenis ini adalah ekosistem tanah lembap yang unik dan rapuh selain memerlukan masa ribuan tahun untuk pembentukannya. Ia didapati terutamanya di Pahang, Selangor, Sabah dan Sarawak.

Hutan gambut merupakan salah satu khazanah atau sumber daya alam yang penting dan mempunyai multifungsi. Ekosistem ini secara alami mempunyai rangkaian fungsi dan perkhidmatan yang penting kepada manusia dan alam sejagat. Antaranya memelihara pelbagai biologi, menyediakan habitat kepada hidupan liar, pusingan kitaran hidrologi, menghalang kejadian banjir, hakisan, menstabil iklim, riadah dan pendidikan serta sumber keperluan sosio-ekonomi asas manusia.

Paya gambut di Semenanjung Malaysia menampung sejumlah 238 spesies tumbuhan dan 81 spesies ikan. Tahap endemik spesies ikan amat tinggi, ada spesies yang hanya ditemui di paya gambut tertentu di dunia seperti ikan laga Betta Langat yang hanya ditemui di Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) sahaja.

Antara fungsi dan peranan utama paya gambut adalah sebagai kawasan tadahan air. Tanah gambut memiliki peranan hidrologi yang sangat penting, sifat fiziknya dapat menyerap dan mengawal kestabilan bekalan sumber air melalui fungsi alami bahan organik dan berupaya menyimpan sehingga 90 peratus air. Paya gambut dicirikan oleh tanah yang mempunyai ketelapan tinggi, lantas berupaya untuk menyimpan banyak air.

Ini menjadikan tanah gambut berkemampuan dalam menstabilkan aras air dan mengawal banjir serta kemarau di kawasan sekitar. Semasa musim hujan, paya gambut berperanan sebagai kawasan simpanan air semula jadi. Semasa musim kering, hutan paya gambut berkemampuan untuk mengalirkan air kembali ke dalam sistem sungai untuk kegunaan penduduk terutama bagi pengairan tanaman pertanian seperti padi. Dianggarkan 10 peratus daripada air tawar dunia berada di hutan gambut.

Impak

Hutan gambut terus diasak dan diancam kewujudannya, misalnya oleh aktiviti berunsurkan pertanian serta akuakultur. Antara yang terancam adalah HSKLU yang berusia 8,000 tahun. HSKLU diklasifikasi sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) Tahap 1 di bawah Rancangan Fizikal Negara ke-3 dan telah ditetapkan sebagai kawasan pemuliharaan di bawah Rancangan Tempatan Kuala Langat. Ini bermakna tiada pembangunan sepatutnya dibenarkan di kawasan ini untuk mengelakkan impak serius kepada alam sekitar, ekonomi dan sosial.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Selangor bercadang menyahwartakan kawasan seluas 930.93 hektar atau 97 peratus hutan simpan berkenaan untuk tujuan projek pembangunan bercampur.Tindakan penyahwartaannya bakal memberi impak besar kepada alam sekitar selain menjejaskan lebih 2,000 komuniti orang asli suku Temuan. Sebarang gangguan terhadap ekosistem di kawasan ini juga turut menyebabkan perubahan berkekalan kepada sistem hidrologi iaitu sumber air mentah semula jadi.

Setiap perancangan untuk membaikpulih paya gambut mestilah berpandukan kepada pengetahuan saintifik dan haruslah releven kepada keadaan persekitaran setempat dan sosio-ekonomi tempatan.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia