PDRM perkasakan kawalan sempadan

A
A
A

PENGUMUMAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk meletakkan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di bawah Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepenuhnya sangat realistik dalam usaha kerajaan memperkemas kawalan di sempadan negara.

AKSEM adalah agensi yang dinaik taraf daripada Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) pada 24 Mei 2016 bagi memperluaskan kerjasama membanteras jenayah rentas sempadan.

UPP pula ditubuhkan pada 1977 berdasarkan Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 15 yang dianggotai PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

AKSEM diketuai pegawai kanan berpangkat Ketua Pengarah dengan tanggungjawab melakukan pemeriksaan dan kawalan sempadan di pos-pos tertentu di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan.

Agensi ini ditubuhkan susulan pembongkaran kubur besar di Wang Kelian, Perlis apabila kerajaan pada masa itu merasakan perlu ada satu agensi untuk membuat pemantauan di sempadan.

Keanggotaan AKSEM pula membabitkan lima agensi sedia ada iaitu PDRM, JIM, JKDM, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang dipinjamkan menerusi jabatan masing-masing.

Sungguh pun begitu, penugasan serupa turut dilaksanakan oleh pasukan keselamatan lain, lantas keputusan Kabinet untuk menyusun semula AKSEM kena pada masanya.

Ini menjadikan hanya PDRM dan tentera sahaja yang dipertanggungjawabkan bagi mengawal batas sempadan di Semenanjung Malaysia serta Sabah dan Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan di pintu masuk sempadan iaitu dalam Kompleks Kastam, Kuarantin dan Imigresen (ICQ) pula menempatkan agensi khusus iaitu JIM, JKDM, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).

Dengan meletakkan AKSEM di bawah bidang kuasa Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Kententeraman Awam (KDNKA), ini mewujudkan sinergi pada kekuatan dan aset-aset sedia ada jabatan berkenaan.

Ini kerana Jabatan KDNKA menaungi lima cawangan penting yang melaksanakan tugas-tugas kepolisan khusus iaitu Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Khas (PGK), Pasukan Gerakan Marin (PGM), Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU).

PGA ditunjangi lima buah briged di Semenanjung Malaysia dan Sabah Sarawak dengan kekuatan 19 buah batalion selain skuadron kereta perisai.

Dahulunya dikenali sebagai Pasukan Polis Hutan (PPH), pasukan ini bukan calang-calang kerana ditubuhkan sejak era darurat dan terbabit secara langsung dalam operasi memerangi pengganas komunis.

Struktur pemerintahan, kelengkapan serta persenjataannya juga adalah menyamai sebuah batalion infantri tentera, malah tidak banyak negara di dunia yang mempunyai pasukan polis berkemahiran sedemikian.

Dengan fungsi yang fleksibel membolehkan PGA ditugaskan dalam masa yang singkat termasuk melaksanakan operasi cegah rusuhan sama seperti PSP selain tugas kepolisan biasa.

Ketika ini pun tugas kawalan sempadan Jabatan KDNKA digalas oleh batalion PGA secara penggiliran melibatkan Briged Utara PGA di zon utara dan Briged Tenggara PGA di Kelantan.

Bagi tanggungjawab di Malaysia Timur pula ia dilaksanakan oleh Briged PGA Sabah dan Briged PGA Sarawak. Difahamkan, pihak PDRM juga sedang merancang mewujudkan sebuah lagi briged baharu PGA di wilayah sebelah sana.

Pengambilalihan kawalan di sempadan juga membolehkan PDRM memperkasakan pasukannya dengan kelengkapan canggih.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu