X

Kindly register in order to view this article
!

Rakyat Belanda masih pilih Encik Normal

Seorang pengundi memasukkan kertas undi dalam kotak undi pada pilihan raya Parlimen Belanda di Eindhoven pada minggu lalu. - Foto AFP
A
A

PILIHAN raya umum Belanda yang diadakan selama tiga hari bermula 15 Mac lalu lalu menyaksikan parti pimpinan Perdana Menteri, Mark Rutte berjaya mendapat mandat rakyat untuk kekal memerintah negara itu.

Rutte, 54, yang mengetuai Parti Kebebasan dan Demokrasi atau lebih dikenali sebagai VVD menduduki tempat pertama di Parlimen apabila memperoleh 33 kerusi daripada 150 kerusi.

Parti VVD perlu memenangi 76 kerusi bagi mendapatkan majoriti mudah di Parlimen yang menyebabkan beliau perlu menubuhkan kerajaan campuran dengan beberapa parti lain bagi mendapatkan majoriti di Parlimen.

Justeru, seperti kata Rutte pada Khamis lalu, beliau meletakkan sasaran untuk menubuhkan sebuah kerajaan campuran pada musim panas tahun ini setelah berjaya memperoleh mandat daripada pengundi untuk mengekalkan jawatan bagi penggal keempat dan memerintah selama empat tahun lagi.

Ia merupakan pilihan raya pertama yang diadakan di Eropah pada tahun ini ketika pandemik Covid-19 melanda negara tersebut dan dunia.

Rutte itu menjadi popular sejak tahun lalu selepas mengetuai negara berkenaan berdepan dengan pandemik tersebut, namun menyebabkan lebih 16,000 orang meninggal dunia dan menjangkiti 1.2 juta orang. Angka tersebut agak tinggi memandangkan Belanda hanya mempunyai populasi 17 juta penduduk.

Namun, populariti Perdana Menteri itu merosot baru-baru ini disebabkan perintah berkurung yang dilaksanakan kerajaan pada setiap hujung minggu sehingga mengakibatkan ratusan orang ditangkap pada Januari lalu dan beberapa buah bandar berada dalam kekacauan selama beberapa hari.

Protes itu pernah digambarkan oleh seorang pegawai polis sebagai yang terburuk dalam tempoh 40 tahun apabila sebahagian perusuh merosakkan kedai-kedai, membakar kenderaan manakala pusat menguji Covid-19 turut dibakar.

Walaubagaimanapun, parti Rutte berjaya menduduki tempat pertama dalam pilihan raya Parlimen itu.

Parti Demokrat 66 pimpinan bekas diplomat wanita, Sigrid Kaang, 59, menduduki tempat kedua dengan memperoleh 23 kerusi manakala parti Kebebasan (PVV) dipimpin oleh Geert Wilders yang anti-Islam berada di tempat ketiga apabila mendapat 17 kerusi.

Rutte atau Encik Normal perlu membentuk kerajaan campuran bagi mendapatkan majoriti mudah di Parlimen selepas memenangi pilihan raya umum pada minggu lalu. - Foto AFP
Rutte atau Encik Normal perlu membentuk kerajaan campuran bagi mendapatkan majoriti mudah di Parlimen selepas memenangi pilihan raya umum pada minggu lalu. - Foto AFP

Dalam pilihan raya itu juga, sebanyak 37 parti politik dilaporkan meletakkan calon masing-masing sekali gus mencipta rekod baharu di Belanda sejak Perang Dunia Kedua manakala 17 parti memperoleh kerusi di Parlimen negara tersebut.

Rutte yang merupakan Perdana Menteri paling lama di Eropah selepas 10 tahun mentadbir Belanda dan merupakan bekas pengurus sumber manusia dengan syarikat Unilever memasuki politik dengan menyertai parti pro-perniagaan, VVD serta meningkat menjadi pemimpinnya pada 2006.

Perdana Menteri tersebut yang dipercayai masih bujang pernah berkata kepada majalah Margriet bahawa beliau kemungkinan akan mempunyai seorang isteri dan anak.

Namun, beliau dan Kabinetnya meletakkan jawatan pada Januari lalu berikutan skandal kebajikan kanak-kanak yang membawa ancaman kepada ketidakstabilan politik.

Antara tahun 2012 hingga 2017, sekurang-kurangnya lebih 20,000 rakyat Belanda diburu oleh pihak berkuasa percukaian kerana didakwa membuat tuntutan palsu berhubung bantuan kewangan penjagaan kanak-kanak dan meminta mereka membayar balik bantuan tersebut.

Kerajaan bagaimanapun akhirnya meminta maaf berhubung dakwaan penipuan itu dan menetapkan lebih 500 juta euro (RM2.45 bilion) untuk membayar pampasan kira-kira 30,000 euro (RM147,077) bagi setiap keluarga berhubung skandal tersebut.

Lantaran skandal itu Rutte yang terkenal dengan gelaran Encik Normal di negaranya, kemudian menghadap Raja Belanda, Raja Willem-Alexander dengan mengayuh basikal ke istananya pada 15 Januari lalu untuk memberitahu tentang peletakan jawatannya.

Beliau kemudian dilantik menjadi Perdana Menteri sementara sehingga pelantikan seorang calon Perdana Menteri yang akan mentadbir negara itu selepas pilihan raya Parlimen diadakan.

Menurut portal berita Politico, mesej daripada kemenangan Rutte itu ialah pengundi mahukan negara itu stabil dengan memilih seorang penyandang jawatan tersebut memegang jawatan Perdana Menteri.

Beliau dipilih walaupun berdepan dengan krisis dakwaan penipuan bantuan kewangan yang menyebabkannya dan Kabinet meletakkan jawatan. - Agensi


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!