X

Kindly register in order to view this article
!

FAM pantau prestasi pengadil

Nafuzi dilayangkan kad kuning ketika TFC menentang Sabah di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada Ahad. - Foto FB MFL
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) akan meneliti prestasi pengadil yang terlibat dalam perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang berlangsung pada Sabtu dan Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, beliau akan meneliti isu berkenaan secepat mungkin.

Bagaimanapun, Sivasundaram yang juga Timbalan Presiden FAM memberitahu, beliau perlu membentuk jawatankuasanya dahulu yang dijangka dapat dilakukan dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Saya masih menunggu laporan perlawanan pengadil dan laporan daripada Jabatan Pengadil.

"Saya akan bincangkan bersama ahli-ahli jawatankuasa sebelum membuat apa-apa keputusan. Jika didapati pemain atau jurulatih yang melakukan kesalahan, mereka akan dirujuk kepada jawatankuasa yang berkenaan.

“Tindakan akan diambil menurut peraturan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya ketika ditemui Bernama di Wisma FAM pada Isnin.

Keputusan yang dibuat oleh Khailazuan Kidam dan Noor Azriel Baharudin yang masing-masing mengadili perlawanan Liga Super membabitkan Sabah FC dan Terengganu FC (TFC) serta Perak FC menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad, menjadi bualan peminat dan juga netizen yang tidak berpuas hati.

Sabah mengetepikan TFC 2-1 di Stadium Likas dengan jurulatih TFC, Nafuzi Zain menerima kad kuning selepas dilihat melepaskan kemarahannya sementara Perak FC pula seri 2-2 dengan juara tujuh kali, JDT di Stadium Perak dalam perlawanan yang dicemari kekecohan sebaik wisel penamat dibunyikan.

Pada Sabtu pula, Ketua Jurulatih Perak II, Syamsul Mohd Saad meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pengadil selepas pasukannya tewas 2-3 kepada JDT II dalam saingan Liga Premier di Larkin.

Minggu lepas, FAM menggantung pengadil, Mohd Fairuzi Mat Desa selama dua minggu serta merujuknya kepada Pengurus Pembangunan Pengadil dan Pengadil Profesional FAM Nagor Amin Noor Mohamed selepas didapati gagal mengesan perbuatan pemain PJ City FC, Ahmad Khairil Anuar Ahmad Zamri menjatuhkan diri dalam kotak penalti, bagi mendapatkan sepakan penalti ketika bermain menentang Melaka United pada 10 Mac.

Mohd Amirul Aizat Mohd Lodin yang mengadili perlawanan Liga Premier antara Kelantan FC dan Perak II pada 6 Mac juga dirujuk kepada Nagor Amir kerana berada di posisi yang salah dalam kotak penalti, menyebabkan beliau ditolak oleh penyerang Kelantan FC, Jack Hindle.

Ahmad Khairil, Hindle dan tonggak Melaka United FC, Alex dos Santos Goncalves yang sengaja bertindak membaling bola ke arah Mohd Fairuzi selepas meraikan gol kedua pasukannya pada penghujung perlawanan kini dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!