Kerajaan digesa beri jaminan cuti bersalin 98 hari

Wakil persatuan pekerja wanita dalam sektor pembuatan gesa kerajaan beri jaminan cuti bersalin 98 hari berbayar kepada pekerja wanita di Malaysia. - Gambar hiasan
Wakil persatuan pekerja wanita dalam sektor pembuatan gesa kerajaan beri jaminan cuti bersalin 98 hari berbayar kepada pekerja wanita di Malaysia. - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Wakil persatuan pekerja wanita dalam sektor pembuatan menggesa kerajaan supaya memberikan jaminan cuti bersalin 98 hari berbayar kepada pekerja wanita di Malaysia dengan menandatangani Konvensyen 183 Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Pengerusi bersama Jawatankuasa WanitaIndustriALL Malaysia, Idawati Idrus dan Selvakumari Abraham berkata, ia termasuklah memperkenalkan Akta Anti-Gangguan Seksual dalam perundangan negara.

Menurutnya, Malaysia disifatkan masih ketinggalan dalam usaha memberikan perlindungan kepada hak pekerja wanita berbanding dengan beberapa negara jiran yang lain.

“Jawatankuasa Wanita IndustriALL Malaysia, mewakili beribu-ribu pekerja-pekerja wanita di sektor pembuatan di Semenanjung Malaysia, menggesa kerajaan Malaysia segera meratifikasikan Konvensyen 183 dan Konvensyen 190 ILO demi perlindungan hak-hak wanita.

“Walaupun Malaysia telah dikategori sebagai negara berpendapatan menengah ke atas, hak dan faedah diterima pekerja wanita masih ketinggalan zaman.

“Misalnya cuti bersalin berbayar Filipina telah bertambah ke 105 hari, di Thailand telah bertambah ke 98 hari, pekerja wanita Malaysia di sektor swasta masih menikmati cuti bersalin berbayar 60 hari sahaja di bawah Akta Kerja 1955,” katanya dalam satu kenyataan bersama pada Isnin.

Jelas mereka, berkenaan perlindungan proses bersalin, Konvensyen 183 yang merupakan satu piawaian antarabangsa mewajibkan kerajaan supaya menjamin cuti bersalin berbayar 98 hari atau 14 minggu.

Di samping itu, mereka berkata, ratifikasi Konvensyen 190 adalah penting kerana undang-undang sedia ada di Malaysia masih tidak mencukupi untuk membanteras perlakuan gangguan seksual di tempat kerja dan di ruang awam.

Artikel Berkaitan:

“Akta Kerja 1955 meletakkan semua tanggungjawab ke atas majikan dalam siasatan gangguan seksual, mekanisme ini tidak mencukupi melindungi hak-hak pekerja wanita sebab jika pihak atasan di tempat kerja merupakan pelaku gangguan seksual, umumnya pihak pengurusan akan berpihak kepada pihak atasan.

“Kerajaan harus memahami hubungan kuasa tidak sama rata di tempat kerja dan cuba menyelesaikan punca masalah ini,” ujarnya.

Katanya, untuk mengatasi perkara tersebut, kerajaan diminta supaya sekurang-kurangnya memperkasakan mekanisme siasatan gangguan seksual dalam Akta Kerja 1955.