Pertumbuhan ekonomi kunci utama untuk kerajaan jelaskan hutang

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pertumbuhan ekonomi negara menjadi kunci utama untuk membolehkan kerajaan menjelaskan hutang, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata, pemulihan ekonomi Malaysia telah mula dilihat susulan langkah dasar yang efektif dengan sektor eksport negara kekal berdaya maju, berkembang selari dengan pemulihan perdagangan global.

“Peningkatan semula ekonomi dunia bermaksud nilai komoditi lebih tinggi memandangkan ia merupakan komponen utama perdagangan negara.

“Susulan pembukaan semula ekonomi secara beransur-ansur, penggunaan domestik juga akan meningkat semula,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, ditambah dengan pelancaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang tersusun, langkah hadapan secara bersasar serta pematuhan prosedur operasi standard yang ketat, ekonomi Malaysia kini teguh bergerak ke arah pemulihan dan pengukuhan ekonomi pada 2021.

Organisasi seperti Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan ekonomi Malaysia bangkit semula tahun ini dengan pertumbuhan masing-masing pada kadar 5.6 hingga 6.7 peratus dan 6.5 peratus.

Tengku Zafrul juga berkata, bagi jangka sederhana dan panjang, kerajaan komited terhadap konsolidasi fiskal melalui Strategi Hasil Jangka Sederhana dan Rangka Kerja Fiskal Jangka Sederhana.

“Akta Tanggungjawab Fiskal yang dicadangkan akan mengkaji secara komprehensif dan memperkukuh rangka kerja fiskal jangka sederhana, antara lain dengan mengutamakan perbelanjaan, menambah baik kerangka cukai, mengetatkan penguatkuasaan dan meminimumkan ketirisan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penekanan kerajaan pada masa ini adalah melonjakkan ekonomi, serta menangani masalah struktur demi pertumbuhan dan ketahanan sosio-ekonomi.

“Sekiranya kita perlu menanggung lebih banyak hutang untuk menyokong rakyat dan perniagaan, yakinlah, kerajaan akan menguruskannya dengan komitmen yang tegas dan telus terhadap disiplin fiskal,” katanya.

Beliau berkata, hutang adalah satu keperluan untuk menyelamatkan pekerjaan dan menyokong perniagaan malah tindakan luar jangka oleh kerajaan serata dunia telah mendorong kenaikan ketara defisit fiskal dan hutang kerajaan susulan krisis yang ditimbulkan pandemik Covid-19.

Tengku Zafrul berkata, menurut IMF, sebanyak AS$14.0 trilion telah dibelanjakan oleh kerajaan serata dunia untuk melindungi nyawa dan meneruskan kelangsungan hidup.

Ini menyebabkan jumlah stok hutang kerajaan di serata dunia melonjak kepada sekitar 100 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global berbanding unjuran sebelum Covid-19 sebanyak 84 peratus sahaja pada Oktober 2019, katanya.

Beliau berkata, bagi Malaysia, tindakan pantas dan proaktif kerajaan dalam memberi respons dasar melalui empat pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion - membantu mengurangkan kadar pengangguran daripada 5.3 peratus pada Mei 2020 kepada 4.9 peratus pada Januari 2021.

“Kira-kira 200,000 pekerjaan daripada sektor formal telah diwujudkan melalui inisiatif PenjanaKerjaya 2.0 di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga telah menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan dengan menyalurkan lebih RM14.4 bilion subsidi upah kepada lebih 330,000 pekerja.

Geran Khas Prihatin memberi talian hayat kepada sekurang-kurangnya 900,000 peniaga perusahaan kecil dan sederhana mikro, katanya.

“Tindakan ini telah menaikkan defisit fiskal kepada 6.2 peratus daripada KDNK pada 2020 tetapi ia lebih rendah daripada purata defisit bagi ekonomi pesat membangun dan ekonomi kelas pertengahan sebanyak 10.3 peratus.

“Angka itu juga adalah lebih rendah daripada defisit 6.7 peratus yang direkodkan semasa kemuncak Krisis Kewangan Global pada 2009,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, tahun ini, selain Belanjawan 2021 bernilai RM322.5 bilion, kerajaan turut melancarkan Pakej Bantuan Permai bernilai RM15 bilion dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) bernilai RM20 bilion.

Beliau berkata, secara keseluruhan, pakej-pakej ini telah membantu menyelamatkan nyawa dan kelangsungan hidup; memastikan kesinambungan perniagaan serta menyokong pertumbuhan ekonomi.

Lebih penting lagi, RM5.0 bilion telah diperuntukkan bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan untuk mencapai sasaran imuniti kelompok pada Disember 2021, tiga bulan lebih awal daripada sasaran asal.

“Segala usaha ini memerlukan penambahan hutang yang telah membantu mengekalkan pekerjaan dan menyelamatkan perniagaan serta mengurangkan kesan Covid-19 kepada ekonomi negara dengan menghadkan penguncupannya kepada 5.6 peratus pada 2020.

“Sebagai perbandingan, penguncupan ekonomi Malaysia adalah lebih rendah berbanding United Kingdom pada -9.9 peratus, Filipina pada -9.5 peratus, Kesatuan Eropah pada -6.2 peratus dan Thailand pada -6.1 peratus,” katanya. - Bernama