X

Kindly register in order to view this article
!

DAP tak faham Bersatu, kata Abu Bakar

A
A

SHAH ALAM - Setiausaha DAP Selangor, Ronnie Liu disifatkan gagal memahami situasi sebenar di sebalik penyertaan tujuh bekas Ahli Parlimen UMNO dalam Bersatu, kelmarin.

Kegagalan Ronnie yang juga ADUN Sungai Pelek itu ditegaskan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya sekaligus mempertahankan keputusan yang dibuat oleh partinya termasuklah pendirian Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Abu Bakar, tujuh Ahli Parlimen berkenaan bukan lagi daripada UMNO, sebaliknya mereka merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menyatakan hasrat ingin bersama-sama dalam perjuangan Bersatu.

"Mereka tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

"Enam daripada mereka telah keluar UMNO sejak Disember 2018 manakala seorang lagi keluar daripada UMNO sejak 1 Julai tahun lalu, jadi apa yang beliau (Ronnie) mahu bising dan kecewa sangat, malah kami (Bersatu) tidak pernah campur hal ehwal dalaman DAP," tegasnya hari ini.

Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri berkata, Bersatu menghormati prinsip kerjasama semua komponen dalam PH.

"Saya nasihatkan Ronnie supaya melihat kemasukan tujuh Ahli Parlimen terbabit daripada sudut gambaran luas dan bukannya secara sempit seolah-olah seperti 'katak di bawah tempurung'.

"Ini kerana kemasukan tujuh Ahli Parlimen itu ke dalam Bersatu sekaligus memperkuatkan lagi kerusi PH dalam Parlimen," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh bekas ahli UMNO sah diterima sertai Bersatu

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas MP UMNO sertai Bersatu: 'Ia benar-benar memalukan'

Kelmarin, tujuh Ahli Parlimen Bebas menerima kad keahlian sebagai tanda penyertaan mereka ke dalam Bersatu daripada Dr Mahathir dalam satu majlis ringkas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Dr Mahathir menyerahkan kad keahlian tersebut kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Shamsuddin; Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Ketika ini Bersatu mempunyai 22 Ahli Parlimen.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus