Israel rampas pas sempadan Menteri Luar Palestin

Riyad al-Maliki
Riyad al-Maliki
A
A
A

RAMALLAH - ‘Tindakan Israel sudah boleh diramal’.

Kenyataan itu dikeluarkan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki pada Isnin selepas pihak berkuasa rejim Zionis merampas pas sempadan VIP miliknya sejurus beliau kembali ke Tebing Barat setelah menghadiri mesyuarat di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague.

“Tel Aviv juga mengugut untuk mengambil tindakan tegas jika Palestin berunding secara langsung dengan ICC. Ancaman ini turut ditujukan kepada Presiden Mahmoud Abbas,” lapor Palestine Radio memetik kenyataannya.

Pada Ahad, pegawai di pejabat menteri luar, Ahmed al-Deek berkata, tindakan itu dibuat hanya kerana al-Maliki mengadakan pertemuan dengan Ketua Pendakwa Raya, Fatou Bensouda pada Khamis lalu.

“Beliau bukannya pergi ke sana atas urusan peribadi sebaliknya untuk mewakili Palestin. Kami melihat insiden ini sebagai serangan ke atas Palestin.

“Ia adalah tindakan balas yang membuktikan Israel adalah rasis dan sering menggunakan pendekatan memberi tekanan, ancaman serta peras ugut,” tegasnya.

Menurutnya, delegasi al-Maliki turut disoal siasat selama 90 minit di lintasan sempadan antara Jordan dan Tebing Barat.

Laman berita Walla juga mengesahkan dakwaan tersebut menerusi laporan mereka yang menyatakan kunjungan menteri luar terbabit ke ICC menjadi sebab utama beliau dikenakan tindakan sedemikian.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pejabat al-Maliki dalam satu kenyataan memaklumkan beliau bertemu dengan Bensouda untuk menggesa siasatan jenayah perang rejim Zionis di wilayah Palestin dipercepatkan.

Gesaan itu dibuat selepas Pelapor Khas mengenai situasi hak asasi manusia di Palestin, Michael Lynk pada 9 Februari lalu menegaskan keputusan ICC terhadap bidang kuasa bagi menyiasat kekejaman tentera Israel akan membuka pintu untuk keadilan di Palestin yang diduduki rejim Tel Aviv sejak 1967.

Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyambut baik siasatan tersebut walaupun Israel berkeras enggan memberikan kerjasama selepas ia menerima surat rasmi berhubung skop siasatan jenayah perang tersebut yang merangkumi tiga isu utama; Perang Gaza pada 2014, dasar penempatan haram dan demonstrasi aman, Great Return di Gaza pada 2018.

Ketika ini, Tel Aviv berusaha menangguhkan siasatan tersebut sehingga jawatan Bensouda diambil-alih oleh Karim Khan dari United Kingdom (UK) pada Jun depan yang diharap tidak berpendirian anti-Israel seperti wanita terbabit. - Agensi