X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 02 Julai 2022

SOP lemah punca Kluster Depot Imigresen Semuja

Abang Johari pada sidang akhbar selepas menghadiri Taklimat Pengurusan Tahanan Covid-19 oleh Jabatan Imigresen Sarawak di Depot Imigresen Semuja, Serian pada Isnin. - Foto Bernama
A
A

SERIAN - Kelemahan dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan proses pelaksanaan ujian calitan Covid-19 didapati antara punca 239 tahanan di Depot Imigresen Semuja, di sini dijangkiti virus itu.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, kesemua tahanan sepatutnya perlu menjalani ujian calitan dan disahkan negatif sebelum dihantar ke pusat tahanan berkenaan, namun SOP itu tidak dipatuhi.

“Selain itu, punca lain virus itu merebak dengan pantas ialah keadaan di depot berkenaan yang menempatkan terlampau ramai tahanan dengan kira-kira 75 orang di dalam satu blok. Bilangan tahanan yang ramai ini agak menyukarkan pematuhan kepada SOP penjarakan fizikal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mendengar taklimat pengurusan tahanan oleh Pengarah Imigresen Sarawak, Datuk Ken Leben di sini pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Covid-19: Kluster baharu dikesan di Depot Imigresen

Abang Johari berkata, justeru, blok tambahan sementara akan dibina untuk menempatkan tahanan yang terlibat bagi tujuan kuarantin di dalam depot terbabit dengan menempatkan 10 tahanan di dalam satu bilik berbanding 20 tahanan sebilik ketika ini.

Seramai 463 tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen Semuja belum dapat diusir kerana pelbagai isu antaranya penerbangan terhad, sempadan negara masih ditutup, tiada peruntukan tiket, tiada dokumen, tiada maklum balas kedutaan dan tidak mendapat pengesahan kewarganegaraan.

Daripada jumlah itu, seramai 239 tahanan telah disahkan positif dan tiada kakitangan imigresen dilaporkan dijangkiti virus itu.

Hadir sama pada sesi taklimat itu ialah Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail; Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Chin Zing Hin dan Pengarah Penjara Negeri Mohamad Rosidek Musa. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!