KPDNHEP jamin bekalan telur ayam mencukupi di seluruh negara

KPDNHEP mendapati bekalan telur ayam dalam negara mencukupi buat masa ini di sebalik tindakan Singapura menarik balik telur keluaran syarikat Malaysia daripada pasarannya susulan dakwaan penemuan Salmonella Enteritidis (SE). - Foto Bernama
KPDNHEP mendapati bekalan telur ayam dalam negara mencukupi buat masa ini di sebalik tindakan Singapura menarik balik telur keluaran syarikat Malaysia daripada pasarannya susulan dakwaan penemuan Salmonella Enteritidis (SE). - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati bekalan telur ayam dalam negara mencukupi buat masa ini di sebalik tindakan Singapura menarik balik telur keluaran syarikat Malaysia daripada pasarannya susulan dakwaan penemuan Salmonella Enteritidis (SE).

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP, Azman Adam berkata, pemantauan pihaknya juga mendapati walaupun berlaku penarikan semula telur keluaran syarikat terbabit di premis perniagaan, bekalan telur daripada syarikat lain mampu menampung keperluan pengguna.

Berdasarkan pemantauan, aktiviti penarikan semula telur di premis yang menjual telur keluaran syarikat terbabit dilakukan secara sukarela, katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Pada 13 Mac lepas, Singapura telah mengarahkan empat pengimport menarik balik telur yang dihasilkan Lay Hong Bhd Layer Farm Jeram, Selangor daripada pasaran negara tersebut.

Terbaharu pada 20 Mac, Singapura menarik balik telur yang diimport daripada sebuah lagi ladang Malaysia dan Agensi Makanan Singapura (SFA) memaklumkan telur terbabit mempunyai cetakan kod “CEM014”.

Mengulas lanjut, Azman berkata, KPDNHEP akan mendapatkan kerjasama industri untuk menampung keperluan dan permintaan kawasan yang terjejas sekiranya terdapat arahan penarikan balik bagi pasaran telur domestik.

Untuk rekod, keperluan telur sebulan ialah sebanyak 900 juta biji berbanding pengeluaran telur sebanyak 1,020 juta biji sebulan.

Pengguna dinasihatkan agar tidak panik dan mendapatkan maklumat sahih daripada pihak berwajib serta menyalurkan aduan berkaitan perkara tersebut melalui portal https://e-aduan.kpdnhep.gov.my, WhatsApp ke talian 019-2794317, atau melalui pusat panggilan 1-800-886-800. - Bernama

Artikel Berkaitan: