PM Taiwan terima suntikan AstraZeneca

Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang menerima suntikan vaksin keluaran AstraZeneca pada Isnin.
Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang menerima suntikan vaksin keluaran AstraZeneca pada Isnin.
A
A
A

TAIPEI - Taiwan memulakan program vaksinasi bagi menguatkan daya tahan mencegah pandemik Covid-19 apabila Perdana Menteri Taiwan, Su Tseng-chang dan Menteri Kesihatan, Chen Shih-chung menerima suntikan vaksin keluaran AstraZeneca pada Isnin.

Kedua-dua mereka menerima suntikan tersebut di sebuah hospital di Taipei selepas pihak berkuasa tempatan meluluskan penggunaan vaksin keluaran syarikat Britain dan Sweden itu.

"Saya tidak berasa sakit. Saya berharap setiap orang akan berasa lega selepas melihat keadaan saya," kata Tseng-chang yang berusia 73 tahun seperti dilaporkan AFP.

Kenyataan beliau itu disiarkan menerusi televisyen Taiwan.

Awal bulan ini, beberapa buah negara anataranya Perancis, Itali, Venezuela dan Indonesia menggantung buat sementara penggunaan vaksin keluaran AstraZeneca ekoran kebimbangan berlaku darah beku dan pendarahan otak.

Bagaimanapun, kebanyakan negara itu kemudian menyambung balik penggunaannya selepas pihak kawal selia vaksin tersebut di Eropah mengesahkan ia selamat dan berkesan bagi menentang Covid-19.

Vaksin keluaran AstraZeneca itu adalah yang termurah dan mudah disimpan sebelum ia digunakan.

Taiwan meneruskan penggunaan vaksin itu selepas sebuah jawatankuasa yang dianggotai pakar-pakar tempatan memutuskan ia memberikan lebih banyak kebaikan klinikal berbanding dengan risiko kesan buruk akibat penggunaannya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beberapa orang yang mengambil pil pencegah kehamilan dan yang mengamalkan terapi hormon dinasihatkan tidak menerima suntikan vaksin tersebut.

Taiwan yang mempunyai penduduk berjumlah 23 juta dijadikan sebagai model pengawalan pandemik Covid-19 apabila mencatatkan hanya lebih 1,000 kes dan 10 kematian sejak ia mula dikesan di Wuhan, China pada lewat tahun 2019.

Ia menutup sempadan dengan segera, melaksanakan kuarantin ketat dan melakukan pengesanan Covid-19 yang bertaraf dunia dalam kalangan penduduknya bagi menghalang penularan pandemik itu. - Agensi