Warga emas terharu dikunjungi Perdana Menteri

Muhyiddin (duduk, empat, kanan) menyantuni Dayang Amit Budin, 82, (dua, kiri) sewaktu mengadakan ziarah prihatin di rumah warga emas itu di Kampung Sembulan Tengah, hari ini.
 -Foto Bernama
Muhyiddin (duduk, empat, kanan) menyantuni Dayang Amit Budin, 82, (dua, kiri) sewaktu mengadakan ziarah prihatin di rumah warga emas itu di Kampung Sembulan Tengah, hari ini.
 -Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang wanita warga emas di Kampung Sembulan Tengah di sini meluahkan rasa terharu apabila pemimpin nombor satu negara Tan Sri Muhyiddin Yassin sudi berkunjung ke rumahnya hari ini.

Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan ke Sabah, meluangkan masa kira-kira 15 minit bertanya khabar Dayang Amit Budin, 85.

"Saya amat gembira kerana ini kali pertama pemimpin datang melawat saya... apa yang lebih mengharukan pemimpin yang datang melawat ialah perdana menteri," kata Dayang Amit kepada pemberita selepas menerima kunjungan itu.

Katanya, dia amat bersyukur apabila rumahnya yang didiami bersama empat anaknya itu dipilih menjadi kediaman pertama dilawati perdana menteri di Sabah.

"Sekarang pergerakan saya amat terhad kerana saya sudah tua... syukur, alhamdulillah masih ada yang mengingati kami warga tua," katanya.

Perdana menteri turut menziarahi Nur Elfi Hanum, 27, iaitu Orang Kurang Upaya (OKU) pembelajaran dan tidak boleh bekerja serta memerlukan pemantauan sepenuhnya oleh keluarga.

Turut serta dalam program itu ialah Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor serta Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Shahelmey Yahya.

Muhyiddin mengunjungi dua lagi OKU di Rumah Pangsa Tanjung Aru di sini, iaitu Nur Zawani Jesim, 25 yang mempunyai masalah pembelajaran dan Fauziah Wong Onn Li, 51 yang mempunyai masalah pertuturan.

Artikel Berkaitan:

Ketibaan perdana menteri disambut dengan penuh semangat oleh penduduk pangsapuri tersebut yang bertepuk tangan sejurus melihat kelibat Muhyiddin keluar dari kenderaan diiringi Hajiji.

Menurut ibu Nur Zawani, Wong On Mui, 50, yang juga adik Fauziah, mereka sekeluarga berasa bertuah menerima kunjungan perdana menteri sekalipun gementar dengan kehadiran pemimpin utama negara itu.

"Anak dan kakak saya tidak terkata dengan kunjungan perdana menteri, tetapi kakak saya berupaya memanggilnya ‘abah’ walaupun mempunyai masalah menuturkannya," kata On Mui.

On Mui berkata, anak dan kakaknya gembira kerana terpilih untuk dikunjungi pemimpin nombor satu negara itu walaupun hanya kira-kira selama 20 minit.

"Beliau (Muhyiddin) juga ada berpesan kepada kami supaya menjaga prosedur operasi standard, jaga kesihatan dan kesihatan," tambahnya.

Sejurus melawat Nur Zawani dan Fauziah, Muhyiddin berlepas ke Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas tiba di sini malam tadi. - Bernama