X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 05 Julai 2022

Tiga hari langsung tiada air

Penduduk Harvard Suasana Resort, Bedong menunggu bekalan air yang belum diterima sejak tiga hari lalu.
A
A

SUNGAI PETANI - Kira-kira 250 penduduk di Harvard Suasana Resort di Bedong berdepan gangguan bekalan air yang terputus sejak tiga hari lalu.

Penduduk, Razaman Abd Rani, 59, berkata, pihaknya akur masalah tekanan air rendah dialami penduduk perumahan berkenaan sejak lebih kurang 10 tahun lalu berikutan kedudukan rumah yang agak ke dalam.

Bagaimanapun, katanya, sebelum ini bekalan air masih ada biarpun tekanan rendah sekali gus memberi peluang penduduk menadah air jika berlaku gangguan bekalan.

"Sejak Disember lalu, air mula tak keluar dari paip, tetapi bekalan tetap ada disalurkan secara perlahan.

"Kami terpaksa tadah air sampai jam 3 pagi semata-mata nak penuhkan bekas kerana bimbang tiada bekalan siang hari.

"Tetapi sejak tiga hari lalu, langsung tiada air siang dan malam, lori pun tak hantar bekalan walaupun sudah dimaklumkan," dakwanya.

Penduduk, Khairani Mohd Kasim, 46, mendakwa, masalah ketiadaan bekalan air telah mengganggu urusan harian keluarga memandangkan dia perlu keluar bekerja sementara anak-anak perlu ke sekolah.

"Bila air tak ada terpaksa mandi dan solat di kawasan R&R berdekatan atau cari tempat sesuai untuk bersihkan diri, kalau setiap hari begini, susahlah kami," katanya.

Penduduk, Rajakumaran Sinapan, 65, berkata, keadaan lebih sukar apabila perlu menguruskan warga emas dan kanak-kanak tanpa ketiadaan air.

"Penduduk sudah buat aduan beritahu air tiada dan kami tunggu lori bekalan untuk hantar air tetapi dalam tempoh tiga hari ini, tiada langsung bantuan air," dakwanya.

Seorang lagi penduduk, Zainol Abidin Abu Bakar, 50, berkata, isu bekalan air adalah keperluan asas yang perlu dipenuhi malah mengharapkan kerajaan memberi perhatian serius berhubung perkara itu.

Dalam perkembangan sama, Sinar Harian berusaha menghubungi Syarikat Air Darul Aman bagi mendapatkan reaksi berhubung isu tersebut.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!