Kren jatuh: KSM arah JKKP siasat punca insiden

Awang Hashim
Awang Hashim
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Sumber Manusia (KSM) mengarahkan pasukan penyiasat Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca insiden projek pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras pada Isnin.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, JKKP WP Kuala Lumpur dan Putrajaya telah mengeluarkan arahan serta-merta supaya menghentikan sebarang aktiviti kerja di kawasan tersebut bagi tujuan siasatan.

Tambah beliau, siasatan juga bertujuan menentukan sama ada terdapat perlanggaran kehendak perundangan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.

“Mengikut akta ini, menjadi kewajipan setiap majikan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya atau orang awam di tempat kerja di bawah kawalannya.

“Majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja, membuat analisa risiko dan mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja memulakan tugas.

“Ini bagi mengurangkan risiko serta mengelakkan berlakunya kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, Garis Panduan Keselamatan dan Kesihatan Industri Pembinaan (Pengurusan) 2017 (OSHCIM) juga mengkehendaki setiap pihak berkepentingan dalam industri memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab di tempat kerja.

Menurutnya, ia termasuk klien, pereka bentuk dan kontraktor bermula daripada peringkat reka bentuk projek pembinaan.

Artikel Berkaitan:

“Kami memandang serius setiap kemalangan dan penyakit pekerjaan berpunca daripada aktiviti pekerjaan termasuk kes yang melibatkan orang awam di sektor pembinaan,” katanya.

Pada Isnin, dua pekerja kontraktor maut, seorang lagi tersangkut dan seorang pemandu kereta cedera parah dalam insiden struktur besi 'kren launcher' pembinaan lebuh raya terjatuh di Persiaran Alam Damai Cheras.

Projek pembinaan lebuh raya itu juga diarah henti serta-merta sehingga persekitaran pembinaan disahkan selamat.