X

Kindly register in order to view this article
!

SPRM jamin kes disiasat secara profesional, ikut undang-undang

Azam Baki
A
A

PUTRAJAYA - Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki memberi jaminan semua kes yang dilaporkan kepada pihaknya akan disiasat secara profesional mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa sedia ada.

Beliau berkata, ia termasuklah isu semasa berbangkit dikemukakan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan hampir sejam yang berlangsung di pejabatnya pada Isnin.

"Saya telah menerima kunjungan hormat Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, hari ini.

"Dalam pertemuan tersebut, saya telah mendengar beberapa isu semasa berbangkit dikemukakan oleh Anwar yang menjadi keprihatinan beliau.

"Sehubungan itu, saya memberi jaminan bahawa SPRM sebagai sebuah agensi yang dipantau oleh lima panel bebas akan bertindak secara profesional mengikut lunas undang-undang dan bidang kuasa yang telah diberikan kepada suruhanjaya ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Jelasnya, SPRM juga menghargai sokongan Anwar terhadap agensi itu dalam usaha membanteras rasuah secara berkesan di negara ini.

Anwar tiba di Ibu Pejabat SPRM jam 2.53 petang bagi mengadakan pertemuan dengan Azam.

Beliau yang hadir dengan menaiki kenderaan berwarna hitam sempat melambaikan tangan kepada petugas media yang menunggu di pintu masuk bangunan suruhanjaya itu.

Pertemuan Anwar dengan Azam adalah bagi membincangkan dakwaan ugutan atau pelawaan yang diterima ahli Parlimen pembangkang daripada seorang menteri kanan agar menyatakan sokongan kepada pihak tertentu.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu menyatakan kebimbangan rasuah dalam kalangan pemimpin politik sehingga berlaku lompat parti termasuk daripada PKR. Malah turut mendakwa lima ahli Parlimen PH diberi ugutan atau pelawaan dengan pelbagai sogokan untuk menarik sokongan mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Anwar minta SPRM siasat dakwaan sogok libat menteri kanan

Anwar tiba di Ibu Pejabat SPRM


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!