Agong zahir ucapan tahniah kepada Zii Jia

Al-Sultan Abdullah - Foto Fail Bernama
Al-Sultan Abdullah - Foto Fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada wira badminton negara Lee Zii Jia, atas kejayaan merangkul Kejohanan Badminton All England pada Ahad.

Seri Paduka Baginda turut menzahirkan sukacita dan bangga atas kejayaan pemain perseorangan lelaki kebangsaan itu, menjulang dan mengharumkan nama negara di persada dunia, sekali gus menggembirakan seluruh rakyat Malaysia.

Baginda turut menzahirkan harapan agar kejayaan berkenaan menjadi suntikan semangat kepada pemain nombor 10 dunia itu untuk berlatih lebih keras, supaya menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan.

“Seri Paduka Baginda mengucapkan selamat maju jaya kepada Lee Zii Jia, semoga beliau dilimpahi kejayaan cemerlang berterusan dan terus mengharumkan nama negara di persada dunia.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan agar kejayaan beliau itu juga, menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan di dalam bidang masing-masing,” menurut kenyataan dimuat naik Facebook Istana Negara, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil kesempatan, untuk menzahirkan penghargaan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di bawah kepimpinan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan barisan kejurulatihan atas kejayaan Zii Jia.

Pemain berusia 22 tahun kelahiran Alor Setar itu, muncul juara All England selepas menampilkan semangat juang tinggi pada perlawanan akhir untuk menewaskan juara bertahan Viktor Axelsen dari Denmark 30-29, 20-22, 21-9, Utilita Arena Birmingham.

Selepas tewas di peringkat separuh akhir kepada pemain sama tahun lepas, Zii Jia amat bersemangat untuk memenangi gelaran itu, selepas menewaskan pemain nombor satu dunia dan harapan pingat emas Olimpik Jepun Kento Momota, 21-16, 21-19 pada saingan suku akhir. - Bernama

Artikel Berkaitan: