Pematuhan SOP PKP sektor peruncitan, pengedaran capai 98 peratus: Nanta

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sektor peruncitan dan pengedaran ketika beroperasi mencapai prestasi cemerlang dengan tahap pematuhan 98 peratus.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada 417,492 pemeriksaan yang dijalankan menerusi operasi penguatkuasaan bermula 13 Mei tahun lalu hingga 9 Mac 2021, sebanyak 408,988 didapati mematuhi SOP.

"Sebab itulah jumlah kluster Covid-19 melibatkan sektor perniagaan di bawah seliaan KPDNHEP iaitu pemborongan, peruncitan dan pengedaran sangat rendah, termasuk khidmat gunting rambut dan kedai makan.

"Kadar ketidakpatuhan yang dicatatkan juga rendah iaitu kurang daripada 10,000 kes,” katanya dalam sidang akhbar khas secara maya menerusi aplikasi Zoom pada Isnin.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau berkata, hanya 7,746 diberikan nasihat, 589 diberikan amaran dan sebanyak 169 kompaun dikeluarkan semasa menjalankan operasi antaranya di pasar raya, restoran dan pasar awam.

Nanta berkata, 37 SOP aktiviti sektor peruncitan dan pengedaran dibangunkan untuk membolehkan peniaga menjalankan operasi perniagaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dalam usaha memulihkan ekonomi negara susulan penularan Covid-19.

Menyentuh mengenai pencapaian lain kementerian tersebut sepanjang tahun lalu, Nanta berkata, kawalan bekalan dan harga pelitup muka dan cecair pembasmi kuman antara yang menjadi tumpuan utama susulan penularan pandemik.

Katanya, pihaknya antara lain melaksanakan larangan eksport ke luar negara dan pewartaan harga pelitup muka pada harga runcit bagi mengatasi situasi kekurangan bekalan selain mengelakkan peniaga mengambil untung berlebihan.

Artikel Berkaitan:

"Pada permulaan penularan Covid-19, berlaku situasi pengguna sukar mendapatkan pelitup muka selain penjual dan pengeluar pelitup muka tiga lapis mengambil kesempatan menaikkan harga daripada RM0.80 sekeping kepada RM5 kerana permintaan tinggi selain bilangan pengeluar yang terhad.

“Bagi mengatasi situasi kekurangan pelitup muka dalam negara yang kritikal ketika itu, kerajaan memutuskan untuk menetapkan harga siling pelitup muka kepada RM2 sekeping bagi merangsang import selain mendapatkan bekalan dari luar negara dengan tempoh lebih cepat sebelum menurunkan kepada RM1.50," katanya.

Selain itu katanya, dalam setiap pelaksanaan SOP ketika PKP, pihaknya sentiasa cuba untuk mengimbangi antara melindungi hak pengguna namun pada masa yang sama masih menjaga kepentingan peniaga.

“Kami mengamalkan dasar mesra kepada semua komuniti peniaga dan menghargai dan memahami kepentingan pemain industri dalam mengekalkan sektor ekonomi yang rancak dan aktif.

“Kami sering mengadakan libat urus bersama mereka kerana mahu memahami masalah yang dihadapi dan seterusnya mencari penyelesaian kepada setiap masalah. Saya amat menghargai hubungan baik antara KPDNHEP dan pemain industri,” tegasnya.

Mengulas lanjut, Nanta berkata agensi di bawah kementeriannya seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Suruhanjaya Persaingan Malaysia (Mycc) dan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) turut membantu menyediakan persekitaran perniagaan yang kondusif.- Bernama