SPAN bina tangki sedutan

Shahir (gambar kiri). Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Shahir (gambar kiri). Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah melaksanakan beberapa pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah air di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Shahir Adnan berkata, SPAN telah membina tangki sedutan separa tertanam di bawah Projek CSR SPAN yang menelan belanja RM47,000 sebagai langkah sementara untuk menyelesaikan isu bekalan air di wad-wad lama HRPZ II.

Katanya, pada masa sama SPAN melalui Air Kelantan Sendirian Berhad (AKSB) telah memulakan projek pembinaan 'dedicated pipe' dari tangki air Merbau terus ke HRPZ II sebagai jaminan bekalan air di hospital itu.

"Projek penukaran paip dalam bandar Kota Bharu juga telah siap dan mula beroperasi. Punca gangguan air dalam tempoh sekarang disebabkan kerja-kerja penyelarasan sistem agihan bagi paip baharu tersebut.

"Jadi akan berlaku gangguan bekalan air di kawasan di Kota Bharu termasuk di HRPZ II," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan berlaku gangguan air di beberapa lokasi utama tumpuan masyarakat terutama di HRPZ II sehingga memberi kesan kepada operasi hospital tersebut.

Mengulas lanjut, Shahir yang juga Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) juga memberitahu, ketika ini juga terdapat kerja-kerja pengalihan dan pemasangan paip yang terpaksa ditangguhkan di sekitar HRPZ II disebabkan oleh kerja-kerja pembinaan pagar mitigasi banjir di HRPZ II tersebut.

Bagaimanapun, berdasarkan maklumat terkini katanya, kerja-kerja tersebut akan disiapkan dalam masa terdekat dan gangguan bekalan air akan dapat dikurangkan.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap semua pihak bersabar dan yakin dengan usaha yang sedang dijalankan bagi mengatasi masalah ini.

"Ini kejadian kali pertama dalam tempoh berpuluh tahun dan kerajaan Kelantan tidak dianaktirikan oleh kerajaan Pusat.

"Disebabkan itu, pertolongan daripada pihak Kerajaan Pusat, melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), telah memberikan sinar baharu kepada rakyat di Kelantan.

"Menteri KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengumumkan pelan jangka pendek dan jangka panjang bagi mengatasi masalah air di Kelantan.

"Sembilan projek menaik taraf perkhidmatan air bagi mengatasi masalah bekalan air di Kelantan dijangka siap dalam tahun ini.

"Satu daripada sembilan projek berkenaan sudah siap pada 1 Mac lalu yang membabitkan pembinaan Telaga B di Loji Rawatan Air (LRA) Chicha dengan kos peruntukan daripada Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sebanyak RM370,300," katanya.