PRU15: Pertahan Pagoh, tidak beri laluan mudah kepada PKR

Mohd Solihan (tengah) melihat pelan Tapak Projek Pembinaan Directional Ramp Persimpangan Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) di Plaza Tol Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Isnin.
Mohd Solihan (tengah) melihat pelan Tapak Projek Pembinaan Directional Ramp Persimpangan Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) di Plaza Tol Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Isnin.
A
A
A

KOTA TINGGI - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang kini disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri berkata, ini kerana kerusi tersebut merupakan antara kawasan utama Bersatu di negeri ini apatah lagi dimiliki Perdana Menteri.

Tegasnya, Bersatu Johor tidak akan memberikan laluan mudah sekiranya Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berhasrat bertanding di kerusi itu pada PRU15.

"Kita akan pertahankan kerusi Parlimen Pagoh dan kita akan all out (untuk mempertahankannya). Ini biasa (Anwar menyebut untuk bertanding di Parlimen Pagoh) orang politik kena ada cita-cita dan kena ada strategi.

"Kita pun ada strategi juga," katanya mengulas kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu yang memberitahu terlalu awal untuk memutuskan Parlimen mana akan ditandinginya pada PRU15 namun sedang melihat satu daripada 15 kerusi Parlimen untuk ditandingi termasuk di Pagoh.

Mohd Solihan Badri
Mohd Solihan Badri

Exco Kerja Raya Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor itu berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Tapak Projek Pembinaan Directional Ramp Persimpangan Lebuhraya Senai–Desaru (SDE) di Plaza Tol Bandar Penawar, di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berkata, Bersatu Johor bukan setakat mahu mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh tetapi juga bertanding di 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Bersatu Johor bukan sahaja mempertahankan kerusi DUN dimenangi mereka sebelum ini tetapi akan turut meletakkan calon di kerusi milik Pakatan Harapan (PH) di Johor.

"Bukan sahaja PKR tetapi kita akan turut bertanding di kawasan DAP dan kerusi-kerusi milik PH yang lain pada PRU15," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang.